PADANG TERAP: Hasrat seorang kanak-kanak lelaki sindrom down, Muhammad Amzar Haziq Mohd. Azlan, 13, membeli telefon pintas tidak kesampaian apabila wang simpanannya kira-kira RM3,000 dalam tin biskut musnah selepas rumahnya terbakar di Felda Lubok Merbau di sini semalam.
Menurut neneknya, Sopiah Saidin, 83, cucunya menyimpan duit tersebut di rumahnya hasil daripada duit raya, sumbangan orang ramai dan duit sekolahnya sejak tiga tahun lalu.
“Saya bersimpati dengannya apabila dia menangis kehilangan wang simpanannya dalam kebakaran pada pukul 10 pagi itu.
“Pada mulanya, dia gembira apabila melihat tin biskut itu ditemui selamat tetapi apabila membukanya didapati kesemua wang itu hangus,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sopiah memberitahu, rumah dua tingkat itu musnah selepas mereka hanya menyedari asap ke luar dari tingkat atas dan tidak mampu untuk memadamkan api lalu keluar menyelamatkan diri.
“Semasa kejadian api begitu marak serta angin kuat dan menyebabkan saya memanggil empat cucu yang sering datang ke rumah saya termasuk Muhammad Amar Haziq yang berada di dalam rumah supaya keluar menyelamatkan diri.
“Kejadian itu berlaku dengan pantas dan semua dokumen penting seperti kad pengenalan tidak dapat diselamatkan,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun wang simpanan cucunya musnah dalam kebakaran itu, dia bersyukur empat cucunya terselamat dalam kebakaran tersebut.
Pada masa ini, katanya, dia menumpang sementara di rumah salah seorang anaknya yang tinggal berdekatan.
“Anggaran kerugian keseluruhan kebakaran itu kira-kira RM250,000,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Rangkaian Anak-Anak Padang Terap (Rapat), Datuk Seri Ghazali Ibrahim yang melawat keluarga itu turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga itu. – UTUSAN