Dua pakej baru bantu remaja, pelajar - Utusan Malaysia

Dua pakej baru bantu remaja, pelajar

ANNUAR Musa (tengah) bergambar bersama para pelajar selepas melancarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia pada sidang akhbar pengumuman pakej diskaun perkhidmatan telekomunikasi untuk para pelajar universiti di Wisma Radio Angkasapuri di sini, hari ini. -UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengumumkan dua pakej baharu untuk membantu golongan remaja dan pelajar memperoleh akses Internet dan peranti pintar mampu milik buat semua terutamanya golongan yang kurang berkemampuan. 

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pakej baharu itu merangkumi Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang pakej khusus untuk golongan remaja dan pelajar berumur 21 tahun ke bawah memperoleh 20 gigabait (GB) untuk tiga bulan pada kadar RM10 sebulan. 

Beliau berkata, pihaknya turut memberikan data percuma 1GB sehari yang berjumlah 90GB untuk tiga bulan itu buat aktiviti produktiviti setiap hari serta Internet asas tanpa had.

“Bagi data 20 GB pula, ia boleh digunakan untuk aktiviti seperti penurunan video atau permainan dalam talian yang dapat membantu pengguna merehatkan diri dengan kebolehan untuk hiburan.

“Remaja dan pelajar di bawah umur 21 tahun hanya perlu mendaftar dengan MyKad sementara pelajar melebihi 21 tahun perlu mendaftar dengan kad pelajar,” katanya kepada pemberita di Wisma Radio, Angkasapuri, hari ini. 

Menurut Annuar, KKMM turut menyediakan Pakej Peranti Keluarga Malaysia yang membolehkan rakyat memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan VoLTE secara percuma. 

Katanya, peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan. 

“Pakej ini termasuk 1GB data percuma untuk aktiviti produktiviti. Setiap pengguna yang layak boleh melanggan sehingga dua pakej dengan mendaftar kad pengenalan yang sama. 

“Adalah diharapkan agar lebih ramai ahli keluarga mendapat manfaat sempurna daripada pemilikan peranti mudah alih 4G dan VoLTE untuk melengkapkan pengalaman Internet mereka,” katanya. 

Tambah beliau, tempoh mendaftar untuk kedua-dua pakej tersebut adalah mulai 15 Oktober 2021 hingga 15 April 2022 selama enam bulan.

“Kerajaan yakin dengan kedua-dua pakej ini, Keluarga Malaysia bukan sahaja akan menikmati kesalinghubungan yang lebih baik bahkan juga harga yang mampu milik dan tahap penyampaian yang lebih berkualiti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya