KULIM: Sebanyak 15 buah rumah di dua buah kampung di Mukim Mahang di sini terjejas dalam kejadian banjir kilat selepas hujan lebat malam semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, dua kampung terbabit iaitu Kampung Ulu Mahang dan Kampung Paya dinaiki air kira-kira 0.5 meter pada pukul 8.20 malam.
Menurutnya, jumlah penduduk yang terlibat dalam banjir kilat itu pula seramai 45 orang.
Bagaimanapun, katanya, tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan selepas air mulai surut kira-kira 30 minit kemudian.
“Kejadian banjir kilat berlaku selepas hujan lebat pada pukul 5 petang berlarutan lebih dua jam sehingga menyebabkan air dari bukit dan sungai melimpah di kawasan kampung berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, APM menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.20 malam dan lima anggota bergegas keluar ke lokasi dengan kelengkapan menyelamat membantu mangsa banjir.
“Anggota APM yang tiba mendapati kawasan kampung itu masih dipenuhi air dan beransur surut serta melakukan pemantauan untuk memastikan mangsa terlibat berada dalam keadaan selamat,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE