SHAH ALAM : Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) akan menganjurkan kursus berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertajuk Latihan Untuk Lelatih TVET dan Kursus Bersepadu Untuk Pembangunan Kandungan Pembelajaran Dalam Talian minggu depan.
Menurut Ketua Program Kelayakan & Kekompetenan CIAST, Mohd. Nuzi Yacob, kedua kursus jangka pendek tersebut akan berlangsung selama lima hari secara dalam talian bermula 20 sehingga 24 September ini.
“Peserta adalah dari negara-negara penerima Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). MTCP telah dilancarkan pada tahun 1980 sebagai komitmen Malaysia untuk kerjasama Selatan-Selatan.
“Kedua-dua kursus tersebut ditawarkan kepada peserta dengan latar belakang latihan teknikal, pegawai dan pengajar dari institusi atau jabatan kerajaan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd.Nuzi berkata,peserta kursus Latihan Untuk Pelatih TVET akan diberi pendedahan berkaitan kaedah dalam menentukan keperluan latihan, kaedah reka bentuk kursus serta aktiviti latihan, dan kaedah penilaian latihan.
Sementara itu katanya lagi, peserta Kursus Bersepadu Untuk Pembangunan Kandungan Pembelajaran Dalam Talian akan mempelajari pelbagai alat digital bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran, penilaian serta proses pembelajaran semasa sesi kuliah, latihan praktikal serta perbincangan yang berkaitan dengan hasil pembelajaran kursus.
“Kursus ini juga merangkumi modul prapenilaian dan pasca penilaian kepada para peserta.
“Dijangkakan program ini berupaya meningkatkan penyertaan peserta TVET antarabangsa dari negara-negara membangun,”katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, seterusnya kursus tersebut menjadi platform bagi perkongsian pengalaman di antara pakar Malaysia dengan negara-negara penerima berkaitan keperluan tenaga kerja berkemahiran serta membuka peluang untuk mempromosikan tenaga pakar Malaysia melalui kursus latihan kemahiran di peringkat global. -UTUSAN ONLINE