GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) memantau trend penjualan alat penyembur nano dan cecair sanitasi yang kini dipasarkan secara meluas di negara ini.
Pegawai Penyelidiknya, N.V. Subbarow berkata, pihaknya bimbang dengan aktiviti penjualan produk pembasmi atau pencegah penyebaran virus Covid-19 yang dipasarkan secara online atau terus kepada pengguna oleh pihak yang tidak mempunyai latar belakang perubatan.
Menurutnya, lebih membimbangkan apabila produk kesihatan itu turut dipasarkan di tepi jalan selain tiada panduan khas terhadap penggunaannya.
Jelas beliau, produk berkaitan barangan kesihatan dipercayai diimport dari negara luar itu tidak boleh dijual sesuka hati termasuk melalui individu atau perseorangan yang bukan pakar dalam bidang kesihatan mahupun perubatan.
“CAP turut mempersoalkan tentang status syarikat-syarikat pengeluar produk berkenaan yang mempamerkan pelbagai jenama alat penyembur dan cecair sanitasi berisipadu lima liter yang dipasarkan secara meluas pada harga serendah RM20 hingga RM100.
“Fungsi penggunaannya dilihat sama, cuma warna cecair yang berbeza. Timbul keraguan sama ada produk tersebut telah diluluskan piawaian oleh KKM mahupun sebaliknya termasuk juga tahap ketulenan cecair sanitasi,” katanya di sini semalam.
Subbarow memberitahu, produk jalanan itu dibimbangi mampu mengundang risiko bahaya kepada golongan kanak-kanak yang menjadikannya sebagai alat permainan.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau semua aktiviti tersebut.
“Alat ini juga sepatutnya dipasarkan di farmasi atau lokasi bersesuaian. Kita tidak mahu perkara yang belum pasti keberkesanan dan ketulenannya itu dijual secara terbuka oleh individu semata-mata mahu mengaut keuntungan berganda,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, tinjauan Utusan Malaysia di sini semalam mendapati produk berkenaan kini banyak dipasarkan individu di sekitar pusat bandar Georgetown; di tepi jalan di Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan Bayan Baru serta menerusi grup WhatsApp komuniti pada harga yang berbeza. -UTUSAN ONLINE