Bunuh jaga: Ahli perniagaan berdepan hukuman gantung - Utusan Malaysia

Bunuh jaga: Ahli perniagaan berdepan hukuman gantung

AHMAD Noor Azhar Muhammad dibawa keluar selepas didakwa atas pertuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan tahun lalu di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang ahli perniagaan berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan, Disember lalu.

Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33, dikenakan tuduhan baharu itu berikutan mangsa, S. Thava Sagayam, 64, yang sebelum ini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.

Lelaki terbabit sebelum ini dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari lalu di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah atas bangkitan marah.

Kes tersebut dijadualkan untuk sebutan semula hari ini namun mahkamah membenarkan pihak pendakwaan untuk menarik balik dan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) tertuduh daripada pertuduhan asal. 

Permohonan untuk menggugurkan pertuduhan di bawah Seksyen 335 dan mendakwa semula tertuduh dengan dakwaan membunuh dibuat Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi.

Prosiding terhadap tertuduh diteruskan dengan pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan oleh jurubahasa.

Dalam prosiding tersebut, tertuduh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Thava Sagayam, di tingkat tujuh Menara Majestic, Jalan CM Yusuff antara pukul 8 hingga 9.30 pagi pada 29 Disember 2020.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Azlina manakala tertuduh diwakili peguam, Ariff Azami Hussein. 

Peguam pemerhati, M. Kulasegaran bagi pihak keluarga mangsa turut hadir.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 18 Oktober ini.

Dalam kejadian pada 29 Disember lalu, Thava Sagayam yang sedang bertugas di kolam renang kondomonium berkenaan cedera di bahagian belakang kepala setelah diserang seorang lelaki.

Kejadian itu berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana cuba menghalang anaknya daripada menggunakan kolam renang yang ketika itu tidak dibuka kepada orang ramai.

Bagaimanapun, selepas lapan bulan menderita dan menjalani lapan pembedahan di bahagian kepala, Thava Sagayam akhirnya menghembuskan nafas terakhir di rumahnya pada 27 Ogos lalu. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN