JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesahkan punca pencemaran udara di Kampung Baru Seri Aman, Seelong, Kempas, di sini disebabkan buangan sisa industri yang mengalir di tali air berhampiran kampung itu.
Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kesan sisa buangan industri yang kelihatan seperti minyak hitam dikesan iaitu Methyl Alcohol termasuk Metanol.
Katanya, bahan itu dikesan hasil pemeriksaan menggunakan peralatan khas, Gasmet yang dilakukan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Kempas dan Melaka.
Tambahnya, pemeriksaan yang dibuat anggota bomba di lokasi sepanjang satu kilometer mendapati terdapat kesan tompokan sisa buangan industri itu yang terlekat di kawasan tebing berumput.
“Bomba mendapati dua sisa buangan kimia jenis Methyl Alcohol dan Metanol mengalir di tali air Sungai Tawakal menuju Sungai Pandan.
“Bomba bertindak pantas dengan membuat pengepungan di kawasan tali air dengan menggunakan ‘oil boom’ bagi menyekat sisa buangan daripada terus mengalir.
“Disebabkan hujan lebat malam tadi, bahan itu disyaki sudah melebihi jarak satu kilometer. Bagaimanapun, ia terurai secara semula jadi dan tidak ada hidupan yang terkesan akibat sisa buangan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yahaya berkata, tindakan pengosongan turut dibuat di kampung terbabit melibatkan 102 individu daripada 25 keluarga dalam radius satu kilometer daripada tempat ia dikesan dengan penduduk dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.
Katanya, setakat ini, empat penduduk wanita di kampung terbabit mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi rawatan kecemasan.
“Hasil pemantauan terkini di lokasi kejadian, keadaan kini beransur terkawal selepas bau busuk pencemaran kimia berkenaan hilang selepas 12 jam kekal di udara kawasan kampung berkenaan.
“Penduduk dijangka boleh dibenarkan pulang ke rumah mereka pada petang ini. Pemantauan berterusan akan dilakukan melibatkan 40 anggota bomba yang ditugaskan di sini,” katanya.
Katanya, kesemua yang dipindahkan ke balai raya itu akan menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu bagi memastikan mereka dalam keadaan selamat. -UTUSAN ONLINE