Bot pukat tunda diharamkan di Zon B secara berperingkat - Utusan Malaysia

Bot pukat tunda diharamkan di Zon B secara berperingkat

MOHD. Sufian Sulaiman (kanan) melihat kerja pelupusan bot pukat tunda di kawasan pejabat Cawangan Perlindungan Sumber, Kompleks Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan di Lumut hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Bilangan bot pukat tunda yang dibenarkan beroperasi di zon B akan dikurangkan daripada 4,800 bot berlesen sekarang kepada 1,950 bot menjelang 2025, sebelum diharamkan sepenuhnya di zon tersebut pada 2030.

 

Zon B ialah kawasan perairan yang berada antara lapan hingga 15 batu nautika dari pantai terdekat.

 

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan, Mohd. Sufian Sulaiman berkata, ia sebagai usaha melindungi sumber perikanan di kawasan tersebut yang didapati semakin berkurangan dengan kajian mendapati bilangan bot pukat tunda sedia ada melebihi sumber marin yang terdapat di zon tersebut.

 

Beliau walau bagaimanapun menjelaskan, bot pukat tunda boleh beroperasi tanpa masalah di Zon C iaitu kawasan perairan melebihi 15 batu nautika dari pantai.

 

“Ia adalah sebahagian daripada usaha Jabatan Perikanan untuk menguruskan sumber perikanan dengan cekap, inovatif dan mesra alam menerusi Dasar Penstrukturan Pukat Tunda.

 

“Peralatan pukat tunda walaupun merupakan peralatan menangkap ikan yang efisien, namun ia tidak selektif sehingga mampu memusnahkan sumber dan habitat pembiakan udang dan ikan dalam penangkapan ikan dan menjejaskan ekosistem dasar laut. 

 

“Isu pencerobohan vesel pukat tunda Zon B di kawasan perairan kurang lima batu nautika juga telah menimbulkan konflik terutama kepada nelayan tradisional di samping menyebabkan isu kemerosotan sumber perikanan negara khususnya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia,” katanya.

 

Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Pelupusan Vesel  di premis Cawangan Perlindungan Sumber Kompleks Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan di sini hari ini.

 

Menurut Mohd. Sufian, operasi bot pukat tunda mudah dikendalikan kerana waktu operasi singkat, boleh beroperasi di lokasi perairan cetek, menjimatkan kos serta mudah melarikan diri jika terdapat rondaan atau operasi penguatkuasaan.

 

Beliau berkata, kerajaan menyediakan dana berjumlah RM150 juta menerusi Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi bertujuan menggalakkan pengusaha bot pukat tunda membina bot baharu atau menambah baik atau memodenkan bot sedia ada agar boleh beroperasi di Zon C dengan lebih cekap.

 

Sementara itu, dua bot bernilai RM130,000 yang dilupuskan hari ini adalah vesel yang ditahan kerana beroperasi sebagai bot pukat tunda tanpa lesen di perairan Sungai Tiang, Bagan Datuk pada 16 dan 22 Jun lalu.

 

Jelas Mohd. Sufian, sejak 2018 sehingga hari ini, pihaknya sudah melupuskan 17 bot pukat tunda tanpa lesen bersama peralatannya dengan nilai hampir RM1 juta. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN