PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan mengiktiraf status seramai 700,000 individu yang terlibat dalam industri e-hailing dan p-hailing sebagai pekerja.
Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengiktirafan tersebut sekali gus dapat memberi hak dan perlindungan terhadap mereka di bawah Akta Kerja 1955 dan akta-akta berkaitan yang lain.
Katanya, perkara tersebut merupakan perkara utama yang perlu kerajaan laksanakan terlebih dahulu sebelum isu-isu lain seperti hak kebajikan, perlindungan dan keselamatan dibincangkan.
“Ini perkara paling utama yang telah diperjuangkan oleh persatuan penghantar dan wakil-wakil kesatuan p-hailing dan e-hailing sejak 2015.
“Perkara ini melibatkan ratusan ribu rakyat dan Pemuda UMNO meminta kerajaan mengambil serius tentangnya,” katanya ketika ditemui di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.
Terdahulu, Pemuda UMNO menganjurkan Persidangan Meja Bulat Tuntutan Hak Penghantar Malaysia dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), persatuan penghantar dan wakil-wakil kesatuan.
Persidangan tersebut diadakan bagi membincangkan permasalahan serta isu-isu berbangkit melibatkan penggiat ekonomi gig dalam negara.
Asyraf Wajdi berkata, pihaknya juga segera usul kepada kerajaan untuk menyediakan bantuan khas kepada penghantar-penghantar dalam Bajet 2022 nanti.
“Penghantar makanan ini datangnya dari pelbagai syarikat dan ramai yang terjejas sebenarnya. Mereka tidak meminta bantuan yang banyak mahukan masalah mereka diberi perhatian serius oleh kerajaan.
Antara tuntutan mereka ialah menyediakan perlindungan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). -UTUSAN ONLINE