KUALA LUMPUR: Bekas pelakon, Zul Yahya berkongsi rakaman video di Instagram akhirnya dapat berjumpa dengan puteri-puteri kesayangannya selepas berbulan tidak berjumpa.
Jelas Zul atau nama sebenarnya Zulkiffili Yahya, 48, pertemuan dan perpisahan merupakan izin Tuhan serta dia juga mahu anak-anaknya meluangkan masa mengenali agama lantas menjadi insan berguna buat semua orang.
“Masya-Allah berbulan-bulan terpisah kerana Allah SWT. Alhamdulillah bertemu juga kerana Allah.
“Papa nak anak-anak lebihkan masa dengan agama. Semoga kalian menjadi insan-insan yang soleh dan soleha dapat membantu agama Allah,” luahnya.
Sebelum itu, pada perkongsian berbeza, Zul Yahya menjelaskan, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai ibu bapa untuk usahakan kepada anak-anak dengan ilmu yang berkualiti di sisi Tuhan.
“Al-Quran dan sunnah sahabat yang terbaik buat kalian. Papa akan pastikan anak-anak berjaya di dunia dan di akhirat.
“Setiap kejayaan pasti perlukan pengorbanan. Semoga menjadi anak-anak yang soleha, hafizah, alim. Insya-Allah kejar nikmat akhirat, nikmat dunia kalian dapat, janji Allah itu pasti,” ujarnya.
Terdahulu, kecoh media sosial berhubung pelakon itu nekad memberhentikan anak-anaknya daripada bersekolah formal demi memberikan pendidikan agama yang lebih mendalam sebagai bekal ke akhirat.
Zul berkahwin dengan pasangan hidup, Siti Raihan Mohd Rodzi dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan enam zuriat dan tiga daripadanya ialah perempuan -UTUSAN ONLINE