Bekas Penolong Pegawai tadbir JAIM direman lima hari - Utusan Malaysia

Bekas Penolong Pegawai tadbir JAIM direman lima hari

SUSPEK dibawa keluar dari mahkamah selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bekas Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan penyelewengan kutipan bayaran lebihan gaji guru kontrak bernilai lebih RM195,000, empat tahun lalu. 

 

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh membenarkan perintah reman terhadap suspek berusia 36 tahun itu sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. 

 

Suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini pada pukul 8.35 pagi dengan memakai baju lokap SPRM dan permohonan reman selesai kira-kira satu jam 30 minit kemudian. 

 

Terdahulu, suspek ditahan kira-kira pukul 11.45 pagi semalam di pejabat SPRM Melaka selepas dipercayai terlibat dalam penyelewengan kutipan bayaran lebihan gaji guru kontrak bernilai RM195,765.75. 

 

Suspek disyaki telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan (naskhah) palsu bayaran balik emolumen lebihan gaji kakitangan kontrak JAIM berjumlah RM195,765.75 sedangkan bayaran tersebut tidak diterima oleh jabatan itu dari tahun 2017 hingga 2018.

 

Ketika kejadian suspek merupakan Penolong Pegawai Tadbir (N32) JAIM. 

 

Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. 

 

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Mohd. Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan permohonan reman berkenaan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN