Bekas pegawai tadbir MPOB didenda RM5,000 terima rasuah - Utusan Malaysia

Bekas pegawai tadbir MPOB didenda RM5,000 terima rasuah

SELAMAT Mulyono Juni diiringi anggota polis selepas prosiding kes menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH : Bekas pegawai tadbir Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM1,500, tahun lalu.

Hakim, S. Indra Nehru menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Selamat Mulyono Juni, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas di pejabat MPOB Wilayah, Butterworth, Pulau Pinang didakwa memperolehi suapan wang tunai RM1,500 daripada pemilik Syarikat Khaffa Vision Enterprise, Shafrullah Abu Kasim.

Suapan itu sebagai dorongan agar pihak penguatkuasa MPOB tidak mengambil sebarang tindakan terhadap syarikat berkenaan selepas lesen perniagaan mengedar buah sawitnya tamat tempoh.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Restoran Ayam Penyet PB, Parit Buntar, Perak kira-kira pukul 6.35 petang, 20 Oktober 2020 .

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Salwani Md. Shah.

Sebelum ini pada 9 Mac lalu, Selamat Mulyono didakwa atas dua pertuduhan rasuah masing-masing di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan berkenaan dan minta dibacarakan.

Dalam pertuduhan sebelum ini, dia didakwa meminta suatu suapan wang tunai RM6,000 sebagai dorongan untuk menghapuskan bukti gambar siasatan berhubung kesalahan urus niaga terbabit.

Bagaimanapun dua pertuduhan berkenaan telah diputuskan sebagai Take Into Consideration (TIC) oleh pihak mahkamah mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya