Bekas jurutera usahakan ladang lemon di Kuala Nerang - Utusan Malaysia

Bekas jurutera usahakan ladang lemon di Kuala Nerang

ZULKHAIRI Kassim (kanan) bersama pembantunya memetik lemon yang ditanam di Kampung Baru Lubuk Labi, Kuala Nerang, Padang Terap hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Seorang bekas jurutera telekomunikasi mengusahakan tanaman lemon termasuk daripada spesies yang jarang ditemui di dunia di ladangnya di Kampung Baru Lubuk Labi, Kuala Nerang di sini.

Zulkhairi Kassim, 55, yang mengusahakan ladang lemon seluas 5.1 hektar di kawasan tersebut yang mempunyai lebih 1,500 pokok daripada 15 varieti lemon dari seluruh dunia.

Menurutnya, varieti itu termasuk Eureka, Bhudda’s Hand, Kamquat, Melbourne, Ponderosa, Mayer, Lisbon, Telur Buaya, Citrus Medica Diamante, Taiwan Perfumes, Iranian Lemon, Lime Quat dan Kerat Lintang.

Katanya,  kebanyakan baka pokok lemon yang ditanam itu dibawa dari luar negara seperti Itali, Afrika Selatan, Australia dan Turki.

“Saya kutip pengetahuan tentang tanaman lemon sejak beberapa tahun lepas ketika merantau di luar negara.

“Saya percaya lemon mempunyai prospek yang baik untuk dikomersialkan,” katanya ketika ditemui di ladang Hannanis Agrotech di sini kelmarin

Tambahnya, setiap varieti lemon itu mempunyai keunikan tersendiri dan pokoknya mampu berbuah sehingga 500 biji setiap masa.

“Apa yang menarik kebanyakan varieti tersebut adalah cukup ‘rare’ dan ditanam bukan sekadar untuk mendapatkan jus tetapi sebagai pati minyak wangi dan jeruk.

“Tanaman lemon di negara ini juga istimewa kerana hasilnya boleh dituai sepanjang tahun,” katanya.

Tambah beliau, dia juga mempunyai sebidang tanah di Derang, Pokok Sena di sini yang dijadikan tapak semaian bagi tanaman tersebut.

Menurutnya, buah lemon yang dijual di ladang itu berharga RM6 sekilogram manakala pokok lemon pula dijual dengan harga antara  RM25 hingga RM35 sepokok.

“Selain berpeluang membeli lemon, pengunjung berpeluang memetik sendiri buah tersebut yang diusahakan bebas daripada sebarang penggunaan racun,” ujarnya.

Katanya, ladang lemon itu dibuka dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang setiap hari.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya