Bekas jurutera usaha kebun nanas - Utusan Malaysia

Bekas jurutera usaha kebun nanas

ROSLEE Ismail (kiri) dan adiknya, Rosnah menunjukan nanas yang dituai di kebun mereka seluas 40 ekar yang diusahakan di TKPM Kampung Lepau, Pengerang di Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sudah puas bekerja makan gaji, bekas jurutera kimpalan di Kampung Lepau, Pengerang di sini tidak kisah menukar kerjayanya meskipun terpaksa berpanas terik di kebun nanas seluas 40 ekar yang diusahakan.

Roslee Ismail, 50, berkata, idea untuk menanam nanas bermula pada tahun 2006 apabila melihat orang luar mengusahakan tanah di kampungnya sendiri untuk menanam tanaman berkenaan.

Kata bapa kepada lima orang anak itu, dia bermula dengan tanah seluas lapan sebelum mengusahakan tambahan lapan hektar lagi tanah selepas berhenti kerja.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Selangor. Apabila merantau dan pulang ke kampung saya dapati orang luar yang ambil bahagian berkebun di kampung sendiri. Jadi saya minta dengan pihak pengurusan kampung dan diberi 8 hektar tanah untuk diusahakan.

“Ketika itu, saya belum berhenti kerja tetapi mengupah pekerja untuk usahakan kebun nanas. Masa itu saya lihat walaupun agak perlahan tetapi ada pulangan meskipun saya pantau dari jauh sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Roslee berkata, pada tahun 2009 dia kemudian mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung bagi memberi tumpuan 100 peratus ke atas kebun nanasnya.

“Saya sudah puas bekerja makan gaji, puas jaga orang. Bila usahakan kebun nanas ini saya rasa lebih serasi dan suka bekerja sendiri. Masa bersama keluarga juga saya boleh atur sendiri disamping tekanan kerja agak kurang selain tidak perlu ‘punch card’,” katanya.

Jelasnya, kini kebun yang diusahakan bersama adik bongsu Rosnah, 38, yang merupakan pemegang diploma dalam bidang perniagaan berjaya menghasilkan 12,000 pokok nanas bagi setiap satu ekar dan mampu meraih keuntungan bersih hampir RM300,000 untuk semusim.

“Pulangan nanas amat baik kerana benih untuk nanas premium MD2 juga mendapat permintaan agak tinggi dan setiap satu pokok boleh menghasilkan empat ke enam anak pokok.

“Dalam seminggu, kami akan keluarkan 2,000 biji nanas untuk dipasarkan yang turut dibantu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengerang selain jualan kepada pemborong serta untuk membuat produk hiliran seperti air jus dan jem,” katanya.

Meskipun kebun diusahakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kampung Lepau mampu menghasilkan kira-kira 400,000 biji nanas namun jumlah itu ujar Roslee masih tidak dapat menampung permintaan.

Lebih-lebih lagi apabila ramai masyarakat kini yang mula berjinak untuk berniaga secara kecil-kecilan bagi mencari sumber pendapatan baru sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya