Bantulah kami bawa pulang Emily Rose - Utusan Malaysia

Bantulah kami bawa pulang Emily Rose

ZAMZARINA Hassan menunjukkan foto Emily Rose Isabella. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Zamzarina Hassan, 41, sanggup melakukan apa sahaja demi membantu rakan karibnya, Sharifah Hanim Zakaria yang sedang berusaha untuk mendapatkan hak penjagaan anak ketiga, Emily Rose Isabella, 2.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Zamzarina berkata, dia rela hati untuk mewakili Sharifah Hanim dalam perbicaraan yang akan diadakan di Mahkamah Keluarga London Timur, dari 23 hingga 30 November ini.

Katanya, dia mengenali Sharifah Hanim sejak di tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjong dan selalu mendengar kisah masalah rumah tangga yang dialamai kawannya itu.

“Kawan saya bagi tahu masalah ini sewaktu mengandungkan anak ketiganya, ketika itu berusia tiga bulan.

“Ada pihak memberitahu Sharifah Hanim, dia mungkin tidak mendapat hak penjagaan selepas bersalin berikutan masalah kesihatannya.

“Sebenarnya, dia ada merancang untuk balik bersalin di Malaysia tetapi berbelah bahagi sebab memikirkan dua lagi anaknya iaitu Jude dan Luke yang dijaga bekas suaminya, Bryan Winnet setelah mereka bercerai pada 2018,” katanya ketika ditemui.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, hasrat seorang wanita rakyat Malaysia merayu bantuan orang ramai bagi membiayai kos guaman RM100,000 dalam kes menuntut hak penjagaan anaknya di Mahkamah Keluarga London Timur pada 23 November ini.

Abang kepada wanita terbabit, Zolkarnain Zakaria, 44, berkata, perbicaraan tersebut bagi menuntut hak penjagaan Emily Rose anak ketiga adiknya itu yang berkemungkinan hilang hak penjagaan kepada bekas suami.

Mengulas lanjut, Zamzarina berkata, dia merayu keprihatinan masyarakat Malaysia agar dapat menghulurkan bantuan bagi membolehkannya dan Zolkarnain menghadiri perbicaraan di United Kingdom (UK).

“Saya juga pening untuk mencari wang sebanyak RM30,000 untuk tiket penerbangan bersama suami selain penginapan lapan hari sepanjang perbicaraan di sana. Saya dan abang Sharifah Hanim akan ke London nanti,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya