KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru pelaksanaan Bajet Terengganu kelak memberi fokus kepada perbelanjaan untuk pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negeri dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.
Baginda bertitah, setiap projek pembangunan perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan kemampanan pertumbuhan ekonomi dan keperluan jangka masa panjang.
Titahnya, sepanjang tahun ini, sejumlah RM2.01 bilion diperuntukkan dengan RM635.32 juta daripadanya bagi membiayai projek-projek pembangunan manakala baki RM1.375 bilion lagi untuk perbelanjaan mengurus.
“Dalam hal ini, beta menyeru kerajaan negeri merangka dan bersedia melaksanakan pelbagai strategi pemulihan yang berkesan serta komprehensif bagi memulihkan ekonomi negeri.
“Semua perbelanjaan secara one-off perlu diteliti semula berdasarkan kedudukan dan komitmen kewangan semasa kerajaan negeri,” titahnya dalam istiadat pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Titah baginda dibacakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sultan Mizan bertitah, perhatian serius juga perlu diberikan kerajaan negeri dalam usaha membangunkan sektor pertanian ke satu tahap yang lebih tinggi berikutan pulangannya yang berbaloi jika dilaksanakan dengan kaedah tepat.
Titah baginda, program dan insentif kepada petani, penternak dan nelayan perlu diteruskan dengan penambahbaikan pada masa akan datang.
“Bagi sektor industri kecil dan sederhana (IKS) pula, beta menyarankan agar golongan itu terus dibantu daripada pelbagai sudut seperti bantuan kewangan, kemudahan premis perniagaan dan lain-lain yang berkaitan agar mereka dapat terus bertahan dan menjalankan perniagaan.
“Sektor IKS antara yang terkesan akibat PKP dan ramai peniaga pasar tani, pasar malam, pengusaha restoran dan lain-lain yang kehilangan punca pendapatan, ramai yang terpaksa gulung tikar dan menganggur kerana tiada kemampuan kewangan untuk terus bertahan,” titahnya. -UTUSAN ONLINE