KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram kerana dana Yayasan Akalbudi yang dikaitkan dalam pertuduhan, diterima daripada sumbangan secara telus serta tidak bercanggah dengan undang-undang.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik berhujah, sumbangan kepada Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri diterima daripada syarikat dan individu manakala jejak kewangan (money trail) melibatkan transaksi cek, dijalankan secara terbuka dan sah.
Beliau berhujah, keterangan saksi-saksi perbankan menunjukkan semua transaksi cek tidak dilakukan secara tersembunyi sebaliknya direkodkan, divarifikasi dan boleh dikesan semula.
Hujah beliau, pendakwaan mengemukakan keterangan saksi ke-87, B. Muralidharan bahawa Ahmad Zahid mengarahkannya memasukkan wang hasil aktiviti haram ke dalam 25 akaun simpanan tetap berlainan Malayan Banking Berhad yang dikawal oleh Tetuan Lewis & Co.
Bagaimanapun, Hisyam menghujahkan, pengendalian 92 keping cek (yang dikaitkan dalam pertuduhan) tidak menyalahi undang-undang manakala dana tersebut disalurkan bagi projek keagamaan dan kerja-kerja amal.
Menurut Hisyam, selain itu, saksi pendakwaan ke-81, Omar Ali Abdullah mengaku dia menerima wang tunai daripada Yayasan Al-Bukhary dan menukarkannya dalam bentuk cek untuk dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi namun tindakan itu dilakukan atas inisiatif sendiri, bukan atas arahan Ahmad Zahid.
Hujah beliau, pihak pendakwaan tersilap apabila menyatakan semua wang sumbangan ditukar kepada bentuk cek untuk memadam jejak kewangan, walhal terdapat keterangan kukuh daripada saksi-saksi perbankan yang mengesahkan transaksi cek tidak dilakukan dalam keadaan yang meragukan.
Sehubungan itu, Hisyam menghujahkan, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap 27 pertuduhan pengubahan wang haram yang di hadapi oleh Ahmad Zahid.
Peguam bela turut menyatakan, Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid turut menerima sumbangan RM9 juta daripada Pengarah Bukan Eksekutif, MyEG Services Mohd. Jimmy Wong Abdullah yang dimasukkan ke dalam akaun amanah Tetuan Lewis & Co.
Hujah pembelaan, sumbangan itu bukan hasil aktiviti haram kerana ia dikeluarkan daripada akaun peribadi Mohd. Jimmy yang disertakan dengan lafaz `akad’ yang menunjukkan penerimaan sumbangan.
Selain MyEG, hujah pembelaan, yayasan itu juga menerima sumbangan RM500,000 dari Yayasan Al-Bukhari dan RM10 juta daripada Chia Bee Enterprise Sdn. Bhd. milik dermawan Wong Sang Woo.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan prosiding penghujahan bersambung Isnin ini.
Mahkamah mendengar penghujahan pembelaan pada akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana tersebut untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.
Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.
Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.
Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.- UTUSAN ONLINE