KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kluang daripada DAP, Wong Shu Qi menerima notis daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini atas dakwaan terlibat dalam perhimpunan yang berlangsung di Dataran Merdeka, di sini, pada 2 Ogos lalu.
Beliau berkata, pihak polis memohon kerjasamanya untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada Rabu ini pukul 10 pagi, untuk dirakam percakapannya di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan diserahkan tawaran untuk menyaman atas kesalahan menyertai perhimpunan itu.
Bagaimanapun, beliau menafikan pelibatannya dalam sebarang bentuk perhimpunan kerana pada hari sama, Shu Qi berada di Parlimen untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Saya terkejut menerima notis daripada pihak polis pada hari ini berkenaan satu dakwaan kononnya terlibat dalam sebuah perhimpunan walaupun saya langsung tidak berada di lokasi yang didakwa berlangsungnya perhimpunan tersebut ataupun terlibat dalam apa-apa perhimpunan.
“Adakah saya kini mempunyai ilmu kagebunsin no jutsu dari Naruto untuk mengklon diri saya berada di beberapa tempat pada masa yang sama?
“Sebagai ahli Parlimen yang menjalankan tanggungjawab, saya berasa amat kecewa dan keliru dengan siasatan polis dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 2 Ogos lalu, ahli-ahli Parlimen pembangkang dari PKR, DAP, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Penaja Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkumpul di Dataran Merdeka setelah dihalang memasuki bangunan Parlimen untuk persidangan khas terakhir di Dewan Rakyat.
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat ketika itu ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.
Penangguhan itu juga dibuat pada hari terakhir Dewan Rakyat bersidang secara khas selain Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdepan tekanan untuk membentang dan membahaskan status pembatalan Ordinan Darurat.
Mengulas lanjut, menjelaskan situasi perjalanannya ke Parlimen, Shu Qi mendakwa disekat oleh pihak polis setelah tiba di lingkaran Jalan Tuanku Abdul Halim menuju jalan ke Parlimen.
Katanya, selepas menunjukkan surat rasmi PAC untuk hadir dalam mesyuarat pada hari tersebut, pihak polis yang bertugas di sekatan jalan raya memintanya untuk mengambil jalan alternatif untuk masuk ke Parlimen.
Jelas beliau, pihak polis telah dimaklumkan berkenaan senarai ahli PAC yang perlu hadir di Parlimen untuk menjalankan tugasnya manakala pihak Parlimen juga telah memuat naik semua gambar prosiding PAC, di laman web rasmi, pada hari sama.
“Akhirnya, saya dibenarkan masuk melalui sekatan jalan raya di Lebuhraya Sultan Iskandar pada pukul 9.55 pagi selepas arahan dikeluarkan oleh PAC kepada polis.
“Namun, amat mengecewakan apabila saya masih diberi notis oleh polis seolah-olahnya ada pihak tertentu telah memberi kenyataan palsu kononnya saya terlibat dalam perhimpunan di Dataran Merdeka,” katanya.-UTUSAN ONLINE
\