KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada pemain badminton kebangsaan, Cheah Liek Hou dan atlet lompat jauh, Abdul Latif Romly yang memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo, 2020, semalam.
Seri Paduka berdua menyifatkan, pencapaian kedua-dua atlet berkenaan membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan invidu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.
Antara lain, Seri Paduka berdua bertitah, kejayaan Liek Hou dan Abdul Latif dalam temasya berkenaan membuktikan dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat negara ini sudah mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Liek Hou dan Abdul Latif turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Liek Hou dan Abdul Latif serta mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan memahat sejarah serta mengharumkan nama di kejohanan-kejohanan mendatang,” titah Seri Paduka menerusi hantaran berasingan di Facebook rasmi Istana Negara, semalam.
Hantaran itu masing-masing mendapat 4,100 tanda suka; 114 komen; 186 perkongsian bagi Liek Hou dan 4,700 tanda suka; 122 komen dan 169 perkongsian bagi Abdul Latif sejak semalam.
Untuk rekod, Liek Hou melakarkan sejarah sebagai pemenang emas sulung negara dalam acara badminton di Sukan Paralimpik Tokyo serta menyaksikan perlawanan badminton pertama kali dipertandingkan di temasya berkenaan.
Beliau yang menduduki penarafan kedua dunia berjaya menundukkan pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi, dengan kemenangan 21-17 dan 21-15 dalam aksi penuh selama 50 minit.
Manakala Abdul Latif pula, berjaya mengekalkan emas yang dimenanginya lima tahun lalu di Paralimpik Rio 2016 apabila melakukan lompatan sejauh 7.45 meter dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.
Pingat perak acara itu dimenangi atlet Greece, Athanasios Prodromou dengan catatan 7.17m manakala Nicholas Hum meraih gangsa dengan 7.12m. -UTUSAN ONLINE