SEREMBAN: Ada pihak dilihat cuba mengeruhkan keadaan dalam isu pergolakan kepemimpinan PKR Negeri Sembilan yang sedang berlaku ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek perkara tersebut termasuklah menerusi penyebaran jemputan sidang media palsu yang kononnya beliau akan keluar parti bersama tiga orang ADUN PKR yang didakwa akan dijalankan petang ini.

Menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang mengarut, Mohamad Rafie yang juga ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) memaklumkan akan terus mempunyai keyakinan penuh kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ada pihak cuba untuk mengeruhkan keadaan, Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan masih kekal utuh bersama.
“Segala masalah dalaman parti boleh diselesaikan dan kita yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden akan menyelesaikan sebarang masalah berbangkit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PKR Negeri Sembilan kini dilihat mengalami pergolakan dalaman selepas tersebar kenyataan media didakwa daripada Penerangan PKR Negeri Sembilan yang menyatakan hilang kepercayaan kepada Pengerusi MPN Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atas beberapa sebab dan rombakan perlu dilakukan terhadap pengurusan MPN Negeri Sembilan.
Berdasarkan laporan yang memetik Ketua Penerangan PKR Negeri, Yusuf Tapar, rombakan segera perlu dilakukan dalam MPN Negeri Sembilan bagi memastikan parti itu kekal relevan terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Dalam kenyataan bersama itu turut membabitkan nama Mohamad Rafie yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Seremban, Ketua PKR Cabang Rasah, Datuk Ismail Ahmad dan Ketua PKR Cabang Port Dickson, Datuk M. Ravi.
Sementara itu, Mohamad Rafie berkata, hakikat perlu diterima iaitu ramai pendukung PKR di negeri ini tidak berpuas hati dengan prestasi Aminuddin.
Bagaimanapun beliau berkata, isu yang berlaku tersebut adalah lumrah dalam mana-mana organisasi dan ia ibarat kocakan air di dalam cawan.
“Secara jelas, pihak yang dikritik dan mengkritik memberi kepercayaan 100 peratus kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden
“Saya dan rakan-rakan juga mempunyai keyakinan penuh kepada Anwar selaku Presiden dan kita berkeyakinan pada ketika ini beliau adalah individu yang paling layak memimpin negara,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE