ABMB bakal dioptimum perkukuh kedaulatan negara - Utusan Malaysia

ABMB bakal dioptimum perkukuh kedaulatan negara

RODZI Md. Saad (tengah) bergambar dengan para pegawai kanan keselamatan di Pangkalan Maritim Abu Bakar berlatarkan Batu Puteh di belakang. – Ihsan KP MKN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pangkalan Maritim Abu Bakar (ABMB) yang terletak bersebelahan Batu Puteh dimiliki Singapura akan terus dioptimumkan bagi memperkukuh kedaulatan perairan negara.

 

 Jaminan itu disuarakan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rodzi Md. Saad ketika melawat pangkalan tersebut di pesisir Johor semalam.

 

 “Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan lawatan kali ini dan akan mengambil tindakan susulan melalui penyelarasan antara jabatan,” kata beliau menerusi akaun sosialnya.

 

 ABMB diletakkan di bawah tanggungjawab zon maritim Tanjung Sedili telah dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 2017 selepas setahun ia berjaya disiapkan.

 

 Terletak hanya 14 kilometer dari Kota Tinggi, pangkalan laut yang merangkumi jeti sepanjang 316 meter itu mengandungi rumah api, bangunan pentadbiran dan tapak pendaratan helikopter.

 

 Majalah pertahanan antarabangsa terkenal, Jane’s Defence Weekly yang berpusat di England, menyifatkan ABMB jauh lebih moden berbanding fasiliti di Batu Puteh atau pun Pedra Branca.

 

 Ia dibina di Batuan Tengah atau Middle Rocks, juga bagi melindungi nelayan Malaysia yang sebelum itu selalu diusir tentera laut Singapura dari Batu Puteh yang terletak cuma 1.1 kilometer.

 

 

Mengulas lanjut, Rodzi menambah, ABMB yang juga menempatkan Pusat Kajian Sains Marin Universiti Kebangsaan Malaysia, amat penting kerana kedudukannya strategik untuk negara.

 

 

“MKN akan memperhalusi beberapa perkara dalam membantu untuk memantapkan pengoperasian ABMB termasuk penyelenggaraan dan penambahbaikan peralatan sedia ada,” katanya.

 

 Beliau juga prihatin dengan tadbir urus kebajikan anggota pelbagai agensi yang bertugas di situ dan memberi jaminan isu tersebut diberikan perhatian sewajarnya kerajaan dan pada masa sama, menghargai tahap kesiapsiagaan petugas barisan hadapan dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara menerusi Op Benteng Laut Sektor 8.

 

 

Batuan Tengah mula dipacakkan bendera Malaysia pada 2008 sejurus Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan status rasmi pulau kecil itu sebagai sah milik kedaulatan negara ini.

 

 

Susulan itu, pelbagai agensi dikerah mempertahankan batuan ini antaranya polis marin, Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya