Abdul Azeez belum lagi bebas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram - SPRM - Utusan Malaysia

Abdul Azeez belum lagi bebas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram – SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim belum lagi bebas daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan.

SPRM menegaskan, kenyataan peguam bela Abdul Azeez, Amer Hamzah Arshad yang berhujah di Mahkamah Rayuan semalam bahawa analisis laporan kewangan SPRM sebelum ini membebaskan anak guamnya daripada dakwaan rasuah, hanya hujahan dan belum diputuskan oleh mahkamah.

“Abdul Azeez sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

“Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu menolak permohonannya untuk membatalkan kesemua tuduhan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM berkata, rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan itu kemudiannya didengar di Mahkamah Rayuan semalam.

Susulan daripada itu, katanya, laporan media yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Abdul Azeez telah bebas daripada kesemua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan.

Justeru, SPRM berharap orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan.

Semalam, peguam, Amer Hamzah yang mewakili Ahli Parlimen Baling itu berhujah, pertuduhan terhadap anak guamnya sepatutnya digugurkan kerana kekurangan butiran dan hanya menyatakan lokasi sekitar Lembah Klang.

Hujah beliau, pertuduhan yang dirangka oleh pihak pendakwaan perlu lebih jelas bagi membolehkan Abdul Azeez, 54, mengemukakan pembelaan.

Hujah Amer Hamzah, pertuduhan yang kabur akan menafikan hak anak guamnya mendapat perbicaraan yang adil seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Setakat ini, tujuh saksi pendakwaan telah memberi keterangan pada perbicaraan di Mahkamah Sesyen. Bicara bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan di hadapan panel itu.

\Pada 12 Mac lalu, Mahkamah Tinggi berpuas hati ketiga-tiga alasan yang dikemukakan oleh Abdul Azeez untuk membatalkan semua pertuduhan terhadapnya, tidak mempunyai merit yang mewajarkan mahkamah menggunakan bidang kuasa sedia ada untuk membenarkan permohonannya.

Ahli Parlimen Baling itu menghadapi sejumlah 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak iaitu melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN