KOTA TINGGI: Sebuah replika tanjak dan keris gergasi mengambil masa selama 91 jam untuk disiapkan sebelum dipasang di pintu masuk Felda Air Tawar 4 di sini.
Presiden Persatuan Gerakan Generasi Felda (PGGF) Negeri Johor yang juga generasi kedua Felda Air Tawar 4, Muhammad Shah Saron berkata, idea menghasilkan replika tersebut diambil daripada perkara kedua Rukun Negara, kesetiaan kepada raja.
Katanya, usaha menyemarakkan bulan sambutan Hari Kebangsaan itu dilakukan sempena pertandingan keceriaan jelajah kemerdekaan dan mengambil masa selama 91 jam iaitu kira-kira enam hari untuk menyiapkannya.
Katanya kos yang dikeluarkan tidak terlalu tinggi berikutan barang-barang digunakan seperti buluh diambil secara percuma jika tidak ia boleh mencecah sehingga RM5,000.
“Saya bersyukur kerana persatuan kami diberi kepercayaan oleh pihak pengurusan kampung untuk membantu dan memberi idea serta konsep untuk kampung terlibat dalam pertandingan yang dianjurkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar.
“Idea diperoleh selepas kita lihat Malaysia kebelakangan ini, tidak kira dari segi latar belakang politik atau apa juga organisasi kini sudah mula kembali kepada ‘asal kita’.
“Iaitu kembali semula kepada sistem DiRaja untuk membuat keputusan-keputusan atau apa juga dasar kepentingan Melayu islam dan penduduk Malaysia agar ianya selamat dan kembali kepada ekonomi yang stabil,” katanya ketika ditemui.
Katanya keadaan itu sekali gus diterjemahkan melalui replika tanjak dan keris gergasi yang sinonim dengan raja-raja Melayu.
Tambahnya, replika itu juga mempunyai maksud tersirat yang mana diharap dapat menarik perhatian masyarakat kampung terutamanya juga Malaysia secara amnya agar patuh dan memberi taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
Jelasnya, dia sendiri dapat lihat golongan muda terutamanya sudah mula lupa akan tanjak dan keris yang digunakan sebagai satu kebanggaan pendekar Melayu pada zaman kesultanan satu ketika dulu.
“Saya berharap dengan adanya replika ini dapatlah mereka terutama generasi muda kita mengingat kembali akan kepentingan sejarah Melayu Malaysia.
“Dalam masa sama melalui usaha ini juga secara tidak langsung telah menyatukan lagi komuniti di Felda ini untuk mencapai satu matlamat yang sama iaitu berusaha untuk mendapatkan kemenangan buat kampung yang kami sayangi.
“Tanpa kerjasama semua pihak terutamanya pihak pengurusan Felda, ketua kampung, generasi kedua Felda pastinya replika gergasi ini tidak menjadi kenyataan,”katanya lagi. -UTUSAN ONLINE