70 kali tempuh banjir selama 35 tahun - Utusan Malaysia

70 kali tempuh banjir selama 35 tahun

RAMIN Kassim menunjukkan sungai kecil berdekatan rumahnya yang tidak mampu menampung aliran air yang banyak sehingga menyebabkan banjir pada setiap tahun di Jalan Kempas, Kampung Seri Gambut, Pekan Nanas, di Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: “Tiap-tiap tahun kami sekeluarga akan menghadapi banjir sama ada kecil atau besar bermula dari tahun 1986 hinggalah sekarang, keadaan tersebut amat sukar ketika anak-anak masih kecil dan bersekolah.

Demikian menurut Ramin Kassim, 69, yang tinggal di Jalan Kempas, Kampung Seri Gambut, di sini yang terpaksa berdepan bencana itu setiap kali hujan lebat sejak berpindah dari Kampung Parit Selangor Baru.

Katanya, jika mengambil kira daripada tahun 1986 hingga kini dengan purata dua kali setahun berlaku banjir, ini bermakna mereka telah 70 kali terpaksa mengosongkan rumah atau berpindah ke pusat pemindahan sementara.

Ramin berkata, kawasan tersebut juga diibaratkan sebagai ‘tadahan’ dengan menerima air yang datang dari kawasan Kulai seperti dari Kampung Rahmat dan Kampung Paya menuju ke Sungai Pontian Besar melalui sungai kecil di hadapan rumahnya.

RAMIN Kassim dan isterinya, Marwiyah Jamin menunjukkan paras air banjir yang pernah memasuki rumah mereka di Jalan Kempas, Kampung Seri Gambut, Pekan Nanas, di Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Kejadian banjir besar yang pernah ditempuh adalah pada tahun 2001 apabila berlakunya   fenomena kepala air di atas Gunung Pulai dengan air setinggi sembilan kaki hingga menenggelami rumah.

“Fenomena tersebut menyebabkan berlakunya limpahan air yang banyak sehingga mengalir turun ke kawasan kediaman, kami diarah meninggalkan rumah masing-masing dan tinggal di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya sehingga air surut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Tambah Ramin, banjir besar seterusnya berlaku lima tahun kemudian dengan ketinggian air sehingga enam kaki yang menyebabkan semua penduduk diarah untuk berpindah.

“Setiap kali berlaku banjir, saya akan menanda kejadian itu di pintu dapur atau tembok bagi mengingatkan paras air yang masuk ke dalam rumah sebagai satu catatan ‘sejarah’ untuk keluarga kami,” ujarnya.

Ujar bekas kakitangan sokongan Kementerian Pendidikan itu, pernah dua kali selepas mengadakan majlis perkahwinan anaknya berlaku banjir terutama pada hujung tahun tetapi mujur ia tidak berlaku pada hari berlangsungnya majlis tersebut.

Katanya, memandangkan setiap tahun rumah mereka akan dilanda banjir, dia tidak membeli  banyak perabot dan barangan elektrik kerana bimbang akan digenangi air melainkan hanya membeli barangan yang perlu sahaja.

Apabila berlaku banjir besar, barangan seperti peti sejuk, mesin basuh serta televisyen yang berada di rumah bawah akan mengalami kerosakan dan terpaksa diganti baru dengan kos kira-kira RM3,000 hingga RM4,000.

“Saya kini tinggal berdua bersama isteri, Marwiyah Jamin, 65, dan kami tidak bercadang untuk membina rumah baru disebabkan bimbang dengan ancaman banjir yang berlaku pada awal dan hujung tahun,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya