KOTA KINABALU: Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan sekitar pusat bandar raya, Penampang dan Putatan mengakibatkan 68 orang mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat pukul 8 pagi tadi, Angkatan Pertahanan Awam (APM) memaklumkan 68 mangsa daripada 27 keluarga dipindahkan di tiga PPS yang dibuka di Penampang dan Putatan.
Daripada jumlah itu, 39 orang daripada 21 keluarga ditempatkan di PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan, Penampang manakala, di Putatan 26 orang di PPS Dewan Sri Serigai dan tiga orang di PPS Dewan Seri Keramat.
Hujan lebat yang berterusan sejak tengah hari semalam menyebabkan kejadian dua kejadian tanah runtuh termasuk di Forest Hill, Jalan Bundusan yang mengakibatkan tiga orang mangsa maut di lokasi kejadian termasuk seorang bayi berusia lapan bulan.
Kawasan yang terjejas teruk ialah Penampang yang memperlihatkan 29 buah kampung dan kawasan dinaiki air.
Paras air Sungai Moyog juga melepasi paras bahaya iaitu pada 9.38 meter.
Semua agensi keselamatan sedang menjalankan pemantauan di beberapa kawasan yang dinaiki air.- UTUSAN ONLINE