PUTRAJAYA: Selepas dilaporkan tidak tiba bulan lalu, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dijangka menerima enam unit helikopter tempur ringan model MD 530G pada Disember ini.
Perkara tersebut disiarkan beberapa portal pertahanan antarabangsa yang memetik sumber dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai menjawab isu kelewatan pesawat itu.
Pada hujung Februari lalu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain dipetik media sebagai berkata, enam buah helikopter tersebut akan diperoleh pada Ogos ini, namun, difahamkan masalah wabak Covid-19 dan faktor spesifikasi khusus yang ditempah PUTD antara punca keperluan aset udara moden itu mengalami kelewatan dibawa masuk.
Pesawat canggih dua tempat duduk buatan Amerika Syarikat (AS) itu sepatutnya diterima dalam dua fasa iaitu dua unit pada Julai 2017 dan baki empat lagi pada Disember 2018 lalu.
Secara kebetulan, Tentera Udara Lubnan sudah selesai menerima enam unit helikopter jenis sama pada suku keempat tahun lepas dengan nilai kontrak AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion).
Media antarabangsa melaporkan, sehingga kini semua pengeluaran pesawat itu telah siap 100 peratus, malahan PUTD menghantar lapan juruterbang dan sembilan juruteknik ke AS.
Mereka menjalani latihan komprehensif di fasiliti MD Helicopter Inc. di Mesa, Arizona, AS sejak 23 April sehingga 13 Ogos lepas bagi memantapkan kemahiran pengemudian jentera.
Kumpulan itu turut diberi bimbingan dari segi aspek pengendalian sistem persenjataan, penerbangan taktikal dan latihan penembakan selain isu penyelenggaraan enjin dan senjata.
Model ini berasaskan kepada struktur sebelumnya iaitu MD 530F yang ditingkatkan keupayaan kejuruteraan dengan teknologi terkini termasuk keupayaan sebagai jentera penyerang.
Selain AS, banyak negara lain turut menggunakan helikopter ringan jenis ini untuk pasukan tentera sejak versi pertama yang dikenali sebagai model 500D dikeluarkan pada 1976 lalu.
PUTD ditubuhkan pada 1994 dengan markas di Pangkalan Udara Kluang, Johor serta ketika ini memiliki 10 helikopter Agusta-Westland A109H dan empat helikopter Sikorsky S-61A4.
Dua model pesawat udara berkenaan ditempatkan masing-masing dalam Rejimen 881 dan 882, manakala enam helikopter terbaharu itu belum ditentukan lagi penempatan skuadron.
Pasukan ini merupakan satu kor dalam Tentera Darat Malaysia yang berperanan memberi bantuan udara di medan tempur kepada mana-mana unit formasi ketenteraan tersebut. -UTUSAN ONLINE