LANGKAWI: Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (Panorama Langkawi), pengendali sistem kereta kabel Langkawi SkyCab di Jalan Telaga Tujuh, Teluk Burau di sini menyasarkan seramai 7,500 pengunjung akan menaiki kereta kabelnya sehingga penghujung bulan ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Rohizat Hashim berkata, trend kedatangan pengunjung menunjukkan tanda yang baik setelah Langkawi dibuka semula di bawah projek rintis gelembung pelancongan pada 16 September lepas.
“Kami menyasarkan 7,500 pengunjung sehingga hujung bulan ini dengan anggaran 500 orang sehari yang menaiki kereta kabel tercuram di dunia itu.
“Setakat semalam, sebanyak 4,500 pengunjung telah datang ke sini sejak 16 September yang memberikan petanda yang bagus dan pengunjung dijangka terus meningkat selepas ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, seramai 471,570 pelancong menaiki kereta kabel itu berbanding 1.27 juta pengunjung pada tahun 2019.
Rohizat menyatakan, jumlah pelawat menurun kira-kira 63 peratus pada tahun 2020 apabila industri pelancongan terjejas akibat wabak Covid-19 yang mula melanda negara.
Sementara itu, Rohizat berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Langkawi akan menjadi destinasi percutian hujung minggu apabila projek rintis gelembungan pelancongan Langkawi tertumpu kepada pengunjung domestik sahaja.
“Langkawi akan menjadi seperti Melaka yang sesak pada hujung minggu apabila warga kota berpusu-pusu ke daerah itu selepas habis kerja pada hari Jumaat,” ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu, beberapa tarikan baharu sedang dibangunkan oleh Panorama Langkawi bagi menarik minat lebih ramai pengunjung menjejakkan kaki di sana.
Jelasnya, antara tarikan tersebut adalah pengalaman bermain permainan realiti maya yang dijangka dirasmikan pada penghujung Oktober nanti.
“Pihak Panorama Langkawi juga mengadakan aktiviti berkhemah bagi mereka yang ingin merasai pengalaman bermalam di puncak Gunung Machinchang berketinggian 708 meter dari aras laut,” katanya.
Katanya, harga bagi menaiki kereta kabel adalah sebanyak RM43 bagi dewasa dan RM33 bagi kanak-kanak.
Tambahnya, harga tersebut adalah termasuk dengan tiket masuk tarikan lain seperti SkyRex, SkyDome, 3D Art Langkawi dan SkyBridge. -UTUSAN ONLINE