PUTRAJAYA: Empat negara dijangka menunjukkan minat untuk bersaing bagi merebut tender pembekalan sejumlah 400 buah kereta perisai pacuan enam roda Tentera Darat Malaysia.
Menurut laporan portal berita perniagaan, Asia Business Daily yang berpusat di Seoul, Korea Selatan, perolehan ini menggantikan kenderaan sedia ada pasukan itu digunakan sejak 1981.
“Setakat ini, tender antarabangsa yang dibuka itu akan mengambil alih fungsi kereta perisai lama model Sibmas 6×6 buatan Belgium dan Condor 4×4 buatan Jerman,” kata laman tersebut.
Kedua-dua model kenderaan bersenjata tersebut dihasilkan oleh pengeluar jentera ternama dari Eropah, Constructions Ferroviaires et Metalliques BN dan Henschel Wehrtechnik GmbH.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengendalikan 186 buah Sibmas dan 460 buah Condor dengan penghantaran terakhir pada 1984 lalu yang kini sudah dianggap model ketinggalan zaman.
Tender terbuka Kementerian Pertahanan itu turut meletakkan syarat utama iaitu produk mesti dikilangkan di negara ini bagi usaha pemindahan teknologi tinggi dan pembekalan alat ganti.
Portal itu melaporkan, empat pengeluar dijangka membida iaitu FNSS dari Turki, PT Pindad (Indonesia), General Dynamic Land System (Kanada) dan Hyundai Rotem (Korea Selatan).
Berdasarkan tawaran semasa, syarikat Turki diramal ada kelebihan besar kerana sudah menjalinkan kerjasama dengan rakan tempatannya, DRB-Hicom Defence Technologies Sdn. Bhd.
Usahasama itu membolehkan anak syarikat gergasi automotif itu mengeluarkan 257 buah kereta perisai tempur amfibia pelbagai fungsi, PARS 8×8 dijenamakan sebagai AV8 Gempita.
Saingan terdekatnya pula ialah PT Pindad yang bakal menawarkan model Anoa 6×6 Angkatan Darat Tentera Nasional Indonesia dengan versi Malaysia akan dikenali sebagai Rimau.
Kanada dalam pada itu dijangka menawarkan model baharu LAV 6×6 manakala Korea Selatan dengan kereta perisai K806 6×6 yang turut digunakan pasukan tentera negara tersebut.
Kementerian Pertahanan juga membuka tender untuk sejumlah 36 unit kereta perisai pacuan empat roda bagi operasi Pasukan Pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). -UTUSAN ONLINE