SEREMBAN: Seramai 34 orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dari Selatan tanah air telah dianugerahkan Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) pada tahun ini.
Daripada jumlah tersebut 19 orang berasal dari Johor, lapan orang dari Melaka manakala selebihnya berasal dari Negeri Sembilan.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria berkata, jumlah pelajar yang dipilih itu juga hasil 10,000 permohonan yang dijalankan secara atas talian, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa tempatan.
Tambah beliau, program tersebut juga adalah komitmen berterusan Petronas terhadap bidang pendidikan dan pembangunan modal insan sejak 46 tahun yang lalu meskipun berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19.
“Usaha ini bertujuan memastikan Petronas sentiasa melatih dan melahirkan pemimpin yang berkebolehan serta tenaga kerja yang efisien dalam memperkayakan kumpulan bakatnya.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada para penerima PESP, terutama sekali para penerima yang berasal dari luar bandar. Kami berharap program penajaan PESP ini dapat memberikan semangat baru kepada para pelajar bagi meneruskan pembelajaran dan memperoleh kejayaan yang cemerlang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lebih daripada RM120 juta telah diperuntukkan untuk penajaan tahun ini di bawah PESP dan ia telah diperluas bagi merangkumi disiplin ilmu lain seperti biokimia, pentadbiran perniagaan (pemasaran & perdagangan) dan juga sains alam sekitar.
Salah seorang penerima PESP dari Negeri Sembilan, Harits Haikal Azmi, 18, berkata dia amat bangga menerima peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi dibawah tajaan Petronas.
“Syukur selepas diumumkan sebagai salah seorang penerima PESP dan bangga dapat penajaan daripada Petronas. Insya-Allah, saya akan sentiasa memanfaatkan peluang yang diberikan ini sebagai batu loncatan untuk berjaya,” katanya yang bakal melanjutkan pelajar ke United Kingdom.
Seorang lagi penerima, Neo Siew Rou, 18, yang berasal dari Johor berkata, terpilih sebagai salah seorang daripada 301 orang penerima PESP di seluruh negara sangat membanggakan.
“Saya berasa sangat gembira apabila diberitahu berjaya mendapatkan penajaan PESP. Ia bagaikan mimpi, terima kasih Petronas atas bantuan ini.
“Ia sangat bermakna buat saya disebabkan kedua ibu bapa saya sudah tidak lagi bekerja,” katanya yang bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang biokimia di Amerika Syarikat. -UTUSAN ONLINE