28 PATI bersembunyi tepi pantai ditahan cuba ceroboh masuk negara - Utusan Malaysia

28 PATI bersembunyi tepi pantai ditahan cuba ceroboh masuk negara

PATI yang ditahan awal pagi tadi ketika sedang bersembunyi selepas tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah di tepi pantai Jalan Tanjung Balau-Sedili Kecil (Bio-Desaru) di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seramai 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan ketika sedang bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau-Sedili Kecil (Bio-Desaru) selepas dipercayai baru sahaja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah, pagi ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataannya memaklumkan, PATI warganegara Indonesia berusia 17 hingga 51 tahun itu ditahan dalam Op Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd).

“Pada pukul 1.30 pagi, anggota petugas pos pemerhati telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di kawasan Bio-Desaru, Bandar Penawar, Johor. Hasil maklumat tersebut, pasukan telah menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) ke kawasan berkenaan.

“Hasil penjejakan yang dilakukan telah mengesan 26 PATI sedang bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau – Sedili Kecil (Bio-Desaru) dan berjaya ditahan sekitar jam 2.30 pagi, manakala pada 5.30 pagi dua lagi PATI ditahan di lokasi berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata kenyataan itu, kesemua PATI tersebut terdiri daripada 25 lelaki dan tiga wanita selain turut merampas mata wang Indonesia dan ringgit serta 23 telefon bimbit yang nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM17,575.80.

Tambahnya, kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas.

“Laporan Polis juga telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai. Pasukan turut meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.

“Pihak tentera darat akan sentiasa bersedia mengawal sebilang masa dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan Negara,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN