KUBANG PASU : Seramai 23,487 pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda layak menerima wang pendahuluan pinjaman (WPP) bagi meringankan beban membuat persediaan awal memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sebanyak RM35 juta diperuntukkan oleh pihaknya kepada pelajar terbabit bagi sesi Oktober ini.
Katanya, WPP itu diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang bersetuju menerimanya semasa membuat permohonan UPUOnline sebelum ini.
“Pemberian WPP ini bergantung kepada kelayakan. Secara umumnya, kalau mereka datang daripada keluarga yang ibu bapanya menerima bantuan sara hidup, pasti permohonan itu diluluskan.
“Setiap pelajar akan menerima wang pendahuluan berjumlah RM1,500 bagi membolehkan mereka membuat persediaan ke IPTA.
“Jika layak, mereka akan menerima waran yang boleh disemak di laman web rasmi PTPTN dan membawanya ke mana-mana cawangan Bank Islam untuk mendapat wang tunai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan surat tawaran WPP kepada beberapa pelajar yang layak menerimanya di Jitra, dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, setiap pelajar tersebut diberi tempoh selama dua bulan untuk mendapatkan wang tunai tersebut di mana-mana cawangan Bank Islam terdekat.
“Sejak WPP diperkenalkan pada 1999, seramai 942,025 pelajar telah menerima manfaat darinya dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.39 billion.
“Untuk kali ini, penerima manfaat di Kedah adalah seramai 2,343 pelajar dengan peruntukan berjumlah RM3.5 juta.
“Ini adalah bukti bahawa PTPTN memainkan peranan amat penting dalam membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA,” katanya. -UTUSAN ONLINE