MELAKA: Lebih 15 tan sampah dikutip di sepanjang Pantai Klebang hujung minggu lalu sekali gus menunjukkan sikap pengunjung yang gemar membuang sampah di merata-rata menjejaskan imej tempat tumpuan ramai itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pekerja SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment), Azman Abdul Aziz meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pengunjung yang gemar meninggalkan sampah selepas beriadah.
Katanya, paling banyak dibuang di merata-rata tempat adalah sisa makanan termasuk bungkusan makanan dan minuman.
Ujarnya, tidak terkecuali lampin pakai buang, botol plastik dan kaca, puntung rokok, tisu serta kertas.
Lebih mengecewakan, jelasnya, segelintir peniaga kendera saji (food truck) juga didapati tidak membuang sisa makanan ke tempat pembuangan sampah sepatutnya, terletak tidak jauh dari Pejabat Pengurusan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
“Sejak tular video siput sedut, pantai ini mula dikunjungi ramai pengunjung sehingga hari ini. Ada yang berkelah dan beriadah membawa keluarga tetapi mereka tidak prihatin serta membuang sampah di merata-rata tempat.
“MBMB dan SWM Environment menyediakan lebih daripada 20 tong sampah di sepanjang pantai untuk pengunjung tetapi ada segelintir membiarkan saja sampah apabila pulang,” katanya ketika ditemui.
Menurut Azman lagi, tong sampah penuh tidak boleh dijadikan alasan, memandangkan pengunjung boleh mengisi sisa makanan termasuk bungkusan dan minuman ke dalam plastik yang diletakan berhampirannya.
“Itu lebih mudah bagi pekerja SWM Environment untuk mengutip sampah berbanding pengunjung membiarkan sampah berselerak kerana ia boleh mencemarkan imej pantai ini.
“Pada hari Sabtu dan Ahad, sampai mencecah lebih 15 tan berjaya dikumpul seramai 30 pekerja yang bertugas setiap hari,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE