100 pelancong sahaja dibenar melawat Taman Laut Pulau Payar setiap minggu  - Utusan Malaysia

100 pelancong sahaja dibenar melawat Taman Laut Pulau Payar setiap minggu 

JUMLAH kemasukan pelancong di Taman Laut Pulau Payar, Kedah akan dihadkan seramai 100 pelancong sahaja pada setiap minggu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Beberapa peraturan baharu bakal dilaksanakan dalam usaha memulih dan memelihara ekosistem Taman Laut Pulau Payar di sini termasuk mengehadkan kemasukan hanya 100 pelancong setiap minggu.

 

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, selain itu, hanya pengusaha pelancong yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Kedah dibenar menjalankan aktiviti pelancongan di perairan taman itu.

 

“Peraturan lain ialah Taman Laut Pulau Payar akan ditutup kepada pelancong pada Selasa dan Rabu setiap minggu dan ditutup kepada pelancong pada Mac hingga Mei setiap tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau  mengadakan lawatan kerja ke Pulau Segantang di Taman Laut Pulau Payar dekat sini hari ini.

 

Pada lawatan itu, beliau juga merasmikan acara melabuhkan 17 unit tukun tiruan konservasi di sekitar perairan tersebut.

 

Muhammad Sanusi menambah, peraturan baharu itu penting demi menjaga kelestarian hidupan di kawasan itu termasuk terumbu karangnya.

 

“Taman Laut Pulau Payar, Kedah banyak memberi manfaat dalam memulihara  sumber perikanan Kedah.  Bagaimanapun, kajian litupan karang yang dijalankan oleh sepasukan penyelidik daripada Coral Cay Conservation pada  2004 dan 2005 melaporkan bahawa litupan karang di Taman Laut Pulau Payar pada ketika itu diklasifikasikan sebagai ‘sederhana’ hingga ‘teruk’ iaitu dengan peratusan litupan karang antara 0 hingga 50 peratus.

 

“Namun begitu, pemantauan litupan karang tahunan yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan pada 2020 mendapati kadar litupan karang berada pada tahap ‘baik’ dengan peratusan 60.8 peratus berbanding 2019 iaitu 50.88 peratus,” katanya.

 

Tambah beliau, kajian saintifik itu menunjukkan bahawa perlindungan biodiversiti marin kepada Pulau Payar melalui konsep Taman Laut memberikan perkembangan positif terhadap pemulihan ekosistem terumbu karang di Pulau Payar. 

 

Tambah beliau, berdasarkan kepada kaji selidik inventori yang dijalankan oleh Jabatan bersama penyelidik Universiti Malaysia Terengganu mendapati Taman Laut Pulau Payar merupakan perumah kepada 154 spesies (30 keluarga) ikan karang dan 20 jenis karang. 

 

“Kebanyakan spesies ikan di Taman Laut Pulau Payar adalah dari kumpulan ikan bernilai ekonomi tinggi seperti kerapu, Epinephelus sp. dan Ikan Cupak atau Bigeye trevally, Caranx sexfasciatus.

 

“Kerajaan Kedah sentiasa menyokong  segala usaha Jabatan Perikanan Malaysia ke arah peningkatan sumber perikanan seterusnya membantu kesejahteraan komuniti dan sosioekonomi komuniti nelayan serta penduduk tempatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN