Zainal terlibat dua pertempuran menentang komunis - Utusan Malaysia

Zainal terlibat dua pertempuran menentang komunis

- ZAINAL Abdullah menujukkan gambar kenangannya sepanjang perkhidmatan sebagai anggota tentera ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Masjid Terentang, Batu Kikir, Jempol, kelmarin.-UTUSAN/NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Sepanjang 21 tahun berkhidmat dalam pasukan tentera, Zainal Abdullah, 70, tidak terkecuali terlibat dalam pertempuran menentang pengganas komunis.

Ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Masjid Terentang, Batu Kikir dekat sini kelmarin, dia memberitahu, dua pertempuran ditempuhnya adalah di Tanjung Rambutan, Perak dan di Bentong, Pahang.

Katanya, pertempuran pertama berlaku pada 13 Jun 1971 ketika dia berkhidmat dalam Unit 4 Renjer, Kem Tambun, Ipoh, Perak.

“Ketika itu, 10 anggota dalam perjalanan membuat risikan, masuk dari Tanjung Rambutan ke kampung Orang Asli dan membuat pangkalan keselamatan di situ. Kami membuat rondaan dan kemudian mendengar bunyi bising, rupanya anggota tentera daripada unit lain membawa dua orang tentera komunis yang menyerah diri keluar dari kawasan itu.

“Kami kemudian mendapat tahu daripada dua anggota komunis itu, terdapat kira-kira 60 orang komunis lagi yang berada di kawasan tersebut. Kami mencari pangkalan mereka dan kemudian dalam perjalanan kami terserempak dengan kumpulan komunis terbabit dan mereka mula menyerang dengan berdas-das tembakan,” katanya berkongsikan pengalaman itu.

Katanya, serangan tersebut menyebabkan dia dan pasukannya terpaksa bersembunyi bagaimanapun ketua kompeninya yang berada di hadapan terkena tembakan.

“Kami tidak sempat membantunya kerana kawasan agak berbukit. Senjata M79 ada pada pegawai saya itu tetapi dia tidak boleh membalas tembakan dan dia mengarahkan saya untuk mengambil senjata itu yang dicampakkannya kepada saya,” katanya lagi.

Bercerita lanjut, Zainal berkata, senjata itu bagaimanapun berada agak jauh daripadanya dan dia terpaksa meredah ‘hujan’ peluru tembakan komunis untuk mengambilnya.

“Memang dalam fikiran saya waktu itu hanya satu iaitu mati kerana tembakan komunis bertalu-talu. Saya kemudian berjaya mendapatkan senjata itu dan membalas tembakan ke arah komunis. Tidak lama kemudian mereka melarikan diri,” katanya.

Pertempuran kedua dengan komunis menurutnya berlaku pada 6 Oktober 1974 di kawasan Ladang Sang Lee, Karak, Bentong, Pahang.

“Kami dalam keadaan standby di Kem Bentong, kemudian terdengar bunyi tembakan, ia datang dari komando yang menembak dua orang komunis. Kemudian kami turun membantu.

“Setibanya kami di ladang berkenaan, seorang daripada pegawai saya telah mati terkena tembakan manakala seorang lagi ditembak di tangan. Ketika saya membantu membalut luka rakan saya itu, saya juga hampir ditembak oleh seorang anggota komunis wanita. Mujur seorang rakan saya lagi terlihat kelibat komunis itu dan kemudian dia menembak hingga mati komunis terbabit terlebih dahulu,” katanya.

Sempena Hari Kebangsaan 2021, Zainal yang bersara pada tahun 1991 menasihatkan generasi muda pada hari ini supaya tidak leka di sebalik keamanan yang diperoleh.

“Ancaman sentiasa ada tanpa sedar, kita hanya ada negara ini sahaja untuk dipertahankan, jika terjadi apa-apa, ke mana kita hendak pergi?. Hargailah kemerdekaan tanah air dan jasa pejuang negara dahulu,” katanya yang merupakan ahli Persatuan Veteran ATM Cawangan Juasseh, Kuala Pilah.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya