KUBANG PASU: Walaupun negara masih diancam pandemik Covid-19, penduduk di Kampung Nongka, Napoh, Changlun di sini tetap bersemangat menyambut Bulan Kemerdekaan ke-64 pada tahun ini.
Penduduk di kampung itu bergotong-royong membina replika wau bulan berukuran lebar 2.74 meter dan panjang 3.05 meter yang dihiasi dengan Jalur Gemilang bagi memeriahkan sambutan tersebut.
Penyelaras Program Menghias Jalur Gemilang di kampung itu, Ahmad Azrul Azibun Din berkata, pihaknya membeli 600 helai Jalur Gemilang bagi menjayakan program tersebut termasuk menghiasi replika wau bulan itu.
Selain itu, katanya, penduduk juga menghiasi pintu gerbang di kampung tersebut dengan Jalur Gemilang.
“Kami berjaya mengutip sebanyak RM3,000 daripada penduduk untuk menjayakan program tersebut dengan membeli 600 Jalur Gemilang dan peralatan membina replika wau itu.
“Jalur Gemilang tersebut juga dipasang di setiap rumah di kampung berkenaan bagi menceriakan suasana sempena sambutan Bulan Kemerdekaan,” katanya di sini semalam.
Tambahnya, program tersebut bertujuan membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk di kampung itu terutamanya golongan muda.
“Inilah cara terbaik bagi menghayati erti kemerdekaan dan bukan hanya sekadar retorik semata-mata,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE