Vaksinasi mampu cegah ibu hamil daripada jangkitan lebih teruk - Utusan Malaysia

Vaksinasi mampu cegah ibu hamil daripada jangkitan lebih teruk

SHILPA NAMBIAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan ibu hamil adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding wanita biasa, apatah lagi dengan kemunculan varian Delta yang lebih cepat merebak dan mudah dijangkiti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Runding Sakit Puan, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Shilpa Nambiar berkata, keadaan jangkitan semakin teruk sehingga perlu dirawat di unit rawatan rapi (ICU) jika seseorang ibu hamil itu pada usia kandungan 28 minggu atau tujuh bulan ke atas memandangkan fisiologi wanita sudah berubah dan tahap imuniti berkurangan.

Menurut pakar kehamilan berisiko tinggi itu, risiko bayi meninggal dalam kandungan dan bersalin awal lebih tinggi untuk mengeluarkan bayi kerana nyawa ibu perlu diselamatkan melalui pemberian oksigen dengan cara baring di atas perut.

“Kalau wanita mengandung dijangkiti Covid-19 pada awal kehamilan, 70 peratus hanya mengalami gejala ringan, tetapi jangkitan boleh menjadi teruk jika pada fasa terakhir mengandung.

“Kalau jangkitan sangat teruk, cara bagi oksigen bukan macam biasa tetapi perlu baring atas perut iaitu satu kaedah paling bagus, jadi selagi ada kandungan, maka cara ini tidak boleh dilakukan, sebab itu kena buat pembedahan mengeluarkan bayi demi menyelamatkan nyawa ibu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dr. Shilpa berkata, pada tempoh awal pandemik berlaku, kes jangkitan kepada ibu hamil tidak mengalami gejala teruk, namun kajian dari United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS) mendedahkan terlalu ramai ibu hamil kini dirawat di ICU akibat varian Delta yang lebih berisiko kepada golongan itu.

Justeru katanya, langkah vaksinasi adalah kaedah perlindungan terbaik kerana kajian dari negara terbabit juga melaporkan bahawa tidak ada seorang pun ibu hamil masuk hospital selepas mendapat vaksin walaupun mereka dijangkiti.

“Mula-mula pandemik semua orang takut termasuk doktor juga risau untuk memberikan vaksin kerana tidak tahu kesannya. Tetapi selepas setahun wabak ini berlaku, lebih 200,000 wanita hamil di luar negara diberikan vaksin, malah tidak ada sebarang kesan sampingan berlaku.

“Pemberian vaksin juga tidak ada masalah untuk diberikan pada semua tahap kehamilan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia perlu melihat semula peraturan pemberian vaksin kepada ibu hamil yang ditetapkan pada usia kehamilan 14 hingga 33 minggu sahaja dan sepatutnya boleh mencontohi negara luar untuk diberikan kepada semua peringkat kehamilan.

Beliau berkata, kajian sudah membuktikan bahawa tidak ada sebab mengapa vaksin tidak boleh diberikan kepada wanita hamil sejak awal mengandung lagi atau selepas tempoh 33 minggu.

“Jadi adalah lebih baik dapat vaksin sebab kita tidak tahu ada masalah berlaku ketika mendapat jangkitan pada peringkat akhir kandungan dan ini boleh memudaratkan kedua-dua ibu dan bayi serta meningkatkan risiko meninggal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya