UTM ketuai kerjasama empat universiti bangunkan Sungai Kim Kim - Utusan Malaysia

UTM ketuai kerjasama empat universiti bangunkan Sungai Kim Kim

KEADAAN air Sungai Kim Kim yang didapati berlaku pencemaran dipercayai akibat pelepasan air sisa dari premis bukan industri di Pasir Gudang, Johor. -IHSAN JAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan mengetuai kerjasama empat universiti awam tempatan dalam usaha untuk mengatasi masalah pencemaran sekaligus membangunkan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

Sinergi keempat-empat universiti awam iaitu Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terjalin menerusi satu inisiatif yang dinamakan Universiti untuk Masyarakat (U4S).

Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri UTM, Prof. Madya Dr. Johari Surif berkata, inisiatif U4S Zon Selatan: Kelestarian Sungai Kim-Kim itu fokus kepada agenda kelestarian alam sekitar dan pembangunan masyarakat di kawasan agak kritikal.

“Buat masa ini, tumpuan akan diberikan kepada kawasan di Pasir Gudang dan Johor Bahru. Tujuannya adalah bagi memelihara, memulihara dan seterusnya melestarikan sungai yang merupakan nadi kehidupan manusia.

“Selaras dengan inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari universiti, UTM akan menyumbangkan kepakaran dari aspek ‘eco-park’ dan ‘nature river engineering’ dengan menjalankan pembangunan Taman Eko di Sungai Kim Kim,” katanya semasa menjadi moderator kepada Program Webinar secara dalam talian.

Tambah Dr. Johari, UTHM akan memberi fokus ke arah skop pendidikan masyarakat setempat melalui program pendidikan sungai dengan tema ‘Conserve the Nature, Love the River’.

“UTeM pula akan membantu dari segi program pemindahan aspek pengetahuan dan teknologi di dalam ‘Smart River Robot Challenge’ dengan mencipta robot pembersihan dalam sungai manakala USIM pula membantu menstabilkan emosi dan semangat masyarakat terlibat melalui pelbagai program latihan seperti ‘Psychological Aid Guide’ kepada guru dan pelajar,” ujarnya.

Johari berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai agensi lain dalam menjayakan hasrat berkenaan antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang.

“Dalam masa sama, kita akan turut melibatkan kerjasama daripada pihak industri sekitar untuk berganding bahu memastikan perubahan kesejahteraan alam sekitar ke arah kebaikan dan keharmonian masyarakat bersama,” tambahnya.

Sungai Kim Kim mula menjadi perhatian ramai apabila kira-kira 6,000 penduduk terjejas akibat pencemaran sisa toksik pada Mac 2019 sehingga memaksa beberapa sekolah di kawasan itu ditutup selepas murid dan pelajar terlibat.

Pada April lalu, Utusan Malaysia turut melaporkan keadaan tenat Sungai Kim Kim dan anak Sungai Selangkah yang mencatatkan bacaan parameter Ammonia as N dan Keperluan Oksigen Biokima (BOD) yang tidak sepatutnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya