KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO di negeri ini diingatkan agar sentiasa mendahulukan rakyat dalam apa keadaan sekali pun.
Malah, UMNO juga perlu berubah sesuai dengan peredaran zaman bagi memastikan parti yang ditubuhkan sejak 75 tahun lalu ini terus kekal relevan kepada rakyat.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO perlu melakukan penyesuaian terhadap dasar-dasar yang ditunjanginya bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Katanya, meskipun banyak kebaikan yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) namun, cabaran ketika ini amat berbeza kerana rakyat sedang berdepan krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
“Rakyat mahu kerajaan yang dapat membantu mereka yang kini hidup terhimpit serta menyelasaikan isu isu yang tertunggak,” katanya semasa majlis penutupan dan penyampaian hadiah Pertandingan Pidato On Line secara maya di bangunan UMNO Sabah hari ini.
Timbalan Ketua Menteri, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan ini berkata, sehebat mana pun sesebuah parti itu, ia bukan jaminan mereka mampu kekal berkuasa sekiranya tidak mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
“Kita tidak boleh bersandar semata-mata kepada sejarah, tetapi kita mesti menunjukkan bahawa sebagai sebuah parti yang telah lahir 75 tahun lalu, kita tetap relevan dan menjadi parti pilihan rakyat.
“Kita mesti menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran kerana sehebat mana pun kita, jika tidak mahu melakukan perubahan, kedudukan parti ini akan tergugat,” katanya.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, biarpun pertandingan itu diadakan secara maya namun, ia mampu mencungkil bakat pemidato yang boleh dimanafaatkan bagi berdepan PRU-15.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan; Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin dan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raimee Unggi.- UTUSAN ONLINE