Tilapia Kedah hanyut ke Bagan Serai - Utusan Malaysia

Tilapia Kedah hanyut ke Bagan Serai

MOHAMMAD Noor Hafiz Ismail (kanan) dan rakannya menunjukkan ikan tilapia yang dijala dalam banjir di Kampung Matang Tengah, Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah Kerian di sini sejak beberapa hari lalu memberi rezeki kepada penduduk apabila kawasan dinaiki air banyak terdapat ikan tilapia merah.

Penduduk mengambil kesempatan menjala ikan di kawasan dinaiki air berdekatan rumah pam Kampung Matang Tengah di sini dan ada yang meraih sehingga berbelas-belas kilogram sehari.

Hasil tangkapan dijual pada harga RM10 sekilogram.

Penduduk berkata, jumlah ikan tilapia yang banyak mungkin disebabkan berlaku kejadian kolam ikan pecah di Kedah disebabkan banjir dan hanyut ke kawasan ini.

Mohammad Noor Hafiz Ismail, 33, dari Kampung Changkat Lobak berkata, hari ini merupakan hari kelima dia menjala dan keseluruhannya dia telah mendapat 55 kilogram tilapia.

Katanya, dia menjual ikan yang diperolehnya pada harga RM10 sekilogram.

“Ikan tilapia yang saya dapat agak besar saiznya, rata-rata sebesar lima jari. Saya rasa ini bukan ikan asal di sini, mungkin dari sebelah Kedah sebab difahamkan ada kejadian kolam ternakan ikan pecah disebabkan banjir di negeri itu.

“Saya dengar ada empat kolam pecah dan lebih 16 tan ikan terlepas, mungkin tilapia dari Kedah yang hanyut sampai ke Bagan Serai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Seorang penduduk, Shahlan Ismail, 44, berkata, dia baru dua hari menjala ikan dalam air banjir.

Katanya, setelah melihat penduduk mendapat hasil yang banyak selepas menjala, dia tidak mahu ketinggalan.

“Saya baru menjala sejak dua hari. Semalam dapat dua kilogram, masa awal banjir dulu saya dengar ada yang dapat sampai 30 hingga 40 kilogram sehari.

“Ikan di sini banyak mungkin disebabkan kejadian kolam ternakan ikan pecah di Kedah, saya sifatkan ini rezeki banjir,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya