Tidak semua tempat sesuai dibuat balai cerap - Utusan Malaysia

Tidak semua tempat sesuai dibuat balai cerap

PUSAT Falak Sheikh Tahir di Pulau Pinang dinamakan bersempena tokoh ulama astronomi terkenal tempatan dan Asia Tenggara, Sheikh Tahir Jalaluddin. – GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bukan semua lokasi di negara ini bersesuaian dibina balai cerap khususnya bagi kerja-kerja pencerapan rukyah anak bulan baharu untuk penetapan takwim Islam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Falak Syar’i Malaysia (PFSM), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, ia ditentukan banyak pihak termasuk Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

SYED KAMARULZAMAN SYED KABEER

Sebagai contoh jelasnya, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di Pulau Pinang, yang juga bangunan tertinggi di utara Semenanjung dan ketujuh di Malaysia tidak sesuai cerap bulan, sebaliknya Pantai Acheh di Balik Pulau pula dipilih sebagai lokasi tunggal negeri itu bagi tujuan pencerapan selain mendapat nasihat Jabatan Mufti Pulau Pinang.

Beliau mengulas insiden tanah runtuh di Pusat Falak Sheikh Tahir di lokaliti tersebut kelmarin akibat hujan lebat yang menyebabkan cerun bersebelahan bangunan itu tidak lagi selamat.

Balai cerap tertua di Malaysia yang dibuka sejak 1991 itu terletak di titik paling barat di negeri tersebut dengan ditadbir oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Syed Kamarulzaman berkata, PFSM yang ditubuhkan pada 1983 turut membantu dalam penentuan lokasi cerap bersama-sama Jupem dan jabatan mufti negeri.

“Ada lokasi langsung tidak layak atas pelbagai faktor antaranya sudut geografi dan astronomi, sekali gus kita elak bazir masa dan wang yang tidak berbaloi dalam jangka panjang,” katanya.

Misalnya jelas beliau, bangunan paling tinggi di Putrajaya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat setinggi 172 meter tidak pernah pun digunakan untuk pencerapan, begitu juga Mercu Tanda Putrajaya di Laman Putra Perdana yang dianggap titik tertinggi di Wilayah Persekutuan ketiga itu, sebaliknya Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pula dipilih.

Pada masa sama, beliau memuji usaha kerajaan Johor yang mahu membina balai cerap termoden rantau Asia Tenggara bakal dikenali sebagai Pusat Astronomi Baitul Hilal di Pontian dan lokasi itu strategik di tepi pantai hadap Selat Melaka dan memang ideal kerana satu-satunya tempat cerap anak bulan di Johor sejak sebelum negara merdeka.

Beliau turut menghargai usaha Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bakal membina balai cerap di Labuan bagi menggantikan lokasi sedia ada setelah projek itu tertangguh enam tahun lalu.

Tempat sekarang di bumbung Menara Universiti Malaysia Sabah di Sungai Pagar katanya, bukan tidak sesuai, tetapi ia lebih kepada keperluan fasiliti khusus dalam jangka masa lebih lama.

Inisiatif itu jelasnya, sudah pun dilaksanakan Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Sabah yang kini berbangga ada balai cerap khas tersendiri serta berfungsi sepanjang tahun.

“Kewujudan balai sebegini turut memupuk minat generasi muda kepada pengajian sains falak selain jadi tarikan pelancong bagi hayati keindahan angkasa dan kebesaran Ilahi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya