PUTRAJAYA: Hospital Kuala Lumpur (HKL) di ibu negara menafikan dakwaan kononnya para pesakit ditempatkan dalam ruangan tandas seperti yang tular menerusi wadah media sosial.
Menurut Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia, mesej dan video itu merupakan rakaman lama situasi kesesakan Jabatan Kecemasan HKL pada 19 Julai lalu.
“Ruang tersebut ialah bilik dekontaminasi jabatan itu yang berfungsi bagi pengasingan pesakit berjangkit seperti kes wabak Covid-19,” jelas kenyataan pasukan berkenaan di sini hari ini.
Pihak HKL ujarnya, turut menegaskan bahawa keadaan sebenar di Jabatan Kecemasan itu buat masa ini terkawal dan dakwaan konon pesakit di kawasan tandas juga adalah tidak benar.
Orang ramai khasnya warganet dinasihatkan agar tidak mempercayai berita yang ditularkan itu dan sebaliknya sentiasa merujuk terus laman akaun sosial rasmi HKL untuk maklumat sahih. -UTUSAN ONLINE