Terpedaya beli kucing British Short Hair RM3,230 - Utusan Malaysia

Terpedaya beli kucing British Short Hair RM3,230

STATUS hingus yang keluar dari hidung kucing kerana cecair lendiran itu dihukumkan sebagai suci. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keinginan seorang remaja untuk membeli seekor kucing baka British Short Hair di laman sosial akhirnya tidak kesampaian apabila haiwan berkenaan tidak diterimanya setelah pembayaran dilakukan sehingga mencecah RM3,230, semalam.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kes penipuan bermula apabila mangsa berusia 24 tahun itu tertarik untuk membeli seekor kucing selepas melihat iklan penjualan haiwan tersebut di laman sosial kira-kira pukul 1.30 petang.

Menurutnya, atas rasa ingin memilikinya, mangsa menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan menyatakan hajatnya membeli kucing terbabit. 

“Suspek memaklumkan terdapat dua ekor kucing baka jenis itu yang akan dijual pada harga RM240 hingga RM290 dan mangsa bersetuju membelinya. 

“Mangsa segera membuat pembayaran seperti yang diminta dengan melakukan empat pemindahan wang secara dalam talian berjumlah RM3,230 bagi pelbagai urusan berkaitan haiwan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, mangsa juga diminta membuat pelbagai bayaran tambahan termasuk proses mendapatkan sijil kelahiran dan dokumen lain selepas membuat pembayaran pertama. 

“Susulan daripada itu, menurut mangsa dia juga diberi jaminan bahawa wang tersebut akan dikembalikan selepas semua proses terbabit selesai. 

“Bagaimanapun katanya, setelah bayaran dibuat, suspek mula menyalahkan mangsa kerana membuat pemindahan wang RM1,900 sebanyak dua kali. 

“Mangsa yang mula curiga telah memaklumkan tidak mahu meneruskan. pembelian dan meminta wangnya dikembalikan. Namun suspek memaklumkan wang tersebut akan dipulangkan jika mangsa membuat bayaran penuh terlebih dahulu bagi urusan pembatalan,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, selepas enggan meneruskan pembayaran mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, semalam.

“Jelas modus operandi suspek dalam memperdaya mangsa adalah dengan menawarkan kucing untuk dijual melalui media sosial. 

“Tindakan itu telah mendorong mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan dan mangsa juga tidak memperoleh kucing malah mengalami kerugian wang,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya