HULU TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menjenamakan durian-durian kampung tempatan yang berkualiti dalam usaha mengkomersialkan raja buah itu ke peringkat lebih tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah itu sekali gus bakal membolehkan durian kampung tempatan dijual pada harga lebih lumayan setanding dengan kualitinya.
Katanya, Terengganu mempunyai banyak durian kampung berkualiti tinggi, namun, tidak dikenali ramai hingga menyebabkan taraf buah berkenaan sekadar juara kampung.
“Buah yang sepatutnya bernilai RM20 sekilogram berdasarkan kualitinya tetapi cuma dijual RM3 sahaja, jadi, dengan penjenamaan itu kelak, secara tidak langsung kita dapat meningkatkan martabat durian kampung di samping memberikan keuntungan kepada pemilik atau pekebun,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pertandingan Durian Kampung Premium Terengganu di Kompleks Pertanian Ajil, di sini, petang semalam.
Dalam pertandingan yang julung kali diadakan itu, johan dinobatkan kepada durian ‘mok wok’ milik Mohd. Firdaus Long dari Lingai, Kuala Nerus manakala tempat kedua dan ketiga diungguli ‘durian hijau’ dari Marang.
Azman berkata, pertandingan durian itu akan diteruskan sebagai platform untuk mengangkat martabat durian kampung dengan durian terpilih akan didaftarkan sebagai variati klon. -UTUSAN ONLINE