KOTA BHARU: Pembuat batu nisan dan belindan di Jalan Sultanah Zainab di sini tidak menang tangan menerima tempahan kelengkapan pusara umat Islam sejak sebulan lalu susulan angka kematian akibat Covid-19 meningkat di negeri tersebut.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Raja Faizudin Raja Sulaiman, 43, berkata, hampir setiap hari dia kini menerima lima hingga 10 tempahan daripada pelanggan di sekitar bandar ini dan daerah berhampiran.
Raja Faizudin, kebanyakan pelanggan dalam kalangan waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia akibat virus itu.
“Pertambahan tempahan menyebabkan saya dan dua lagi adik perlu bertungkus-lumus menyiapkan kedua-dua kelengkapan itu dalam tempoh segera.
“Ketika ini, kes Covid-19 di Kelantan tidak banyak berubah, namun kematian harian meningkat. Mungkin sebab itu saya menerima tempahan hampir setiap hari,” katanya ketika ditemui di premisnya di sini semalam.
Raja Faizudin yang sudah 20 tahun membuat batu nisan dan belindan berkata, selain menerima tempahan hampir setiap hari, dia juga menjadi kelam-kabut kerana pelanggan menempah secara mengejut dan mahukannya secepat mungkin.
Katanya, harga batu nisan dan belindan dihasilkan tidak tetap, bermula RM200 dan ke atas bagi setiap set, bergantung kepada jenis dan bentuk ditempah.
“Ada juga ahli keluarga mangsa Covid-19 yang kurang berkemampuan membuat tempahan. Saya tidak berkira sangat dan sudi memberikan harga istimewa mengikut kemampuan mereka,” katanya.
Menurut Raja Faizudin, dia merancang untuk menyediakan dana khas bagi membantu golongan asnaf dan tidak mampu mendapatkan batu nisan dan belindan untuk ahli keluarga terbabit.
Dalam pada itu, sejak wabak Covid-19 menular Kelantan, jumlah terkumpul jangkitan di negeri itu sebanyak 72, 134 kes setakat kelmarin. -UTUSAN ONLINE