PASIR MAS: Projek baik pulih tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, di sini yang runtuh 17 Febuari lalu, dijangka siap sebelum 5 November depan iaitu sebelum musim bah melanda negeri ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, projek menelan belanja RM65 juta itu mengambil masa selama tiga bulan untuk siap dan kerja-kerja membaik pulih telah dimulakan sejak Khamis lalu.
Menurutnya, jumlah RM65 juta itu merangkumi kerja-kerja dilakukan oleh kontraktor sebanyak RM45 juta, bayaran pampasan tanah dan bangunan (RM11 juta) serta kerja-kerja perundingan sebanyak RM9 juta.
“Kerja-kerja kontraktor termasuk mengorek pasir di kawasan seberang Pasir Mas, penstabilan tebing di lokasi runtuhan dengan cara meletakkan batu-batu, membina benteng dan proses mengorek sungai. Kesemua kerja-kerja ini berjalan secara serentak.
“Walaupun ‘kegawatan’ politik sedang melanda negara selain ancaman Covid-19, kerajaan terus komited meletakkan kepentingan rakyat di hadapan bagi memastikan projek ini berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan projek menangani bencana runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, di sini hari ini.
Hadir sama Exco Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad; Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Kamal Mustapha.
Kata Mustapa, satu jawatan kuasa pemantau telah dibentuk bagi memastikan gerak kerja projek itu terus berjalan dengan baik sekali gus mengikut perancangan kerajaan.
“Datuk Hanifa selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir akan mengetuai jawatankuasa sambil dibantu Ahli Parlimen Pasir Mas (Ahmad Fadhli) dan Pengarah JPS Kelantan serta Ketua Jajahan Pasir Mas,” ujarnya.
Pada 17 Februari lalu 15 keluarga yang menetap di Jalan Pohon Celagi, di sini terpaksa mengosongkan rumah masing-masing selepas tebing Sungai Kelantan berhampiran kediaman mereka runtuh. -UTUSAN ONLINE