BUTTERWORTH: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun berdepan detik cemas apabila pergelangan tangan kirinya tersangkut pada mesin ais kacang di sebuah gerai cendol di Pekan Darat, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan apabila tangannya tidak terkena pada mana-mana bahagian tajam mesin itu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.55 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth bergegas ke lokasi kejadian.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, anggota kami mendapati tangan seorang remaja lelaki tersepit pada mesin ais kacang.
“Anggota menggunakan peralatan khas menyelamat untuk membantu mangsa dan tangan yang tersepit itu berjaya dikeluarkan pukul 12.19, manakala dia tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE