Tak endah amaran, dua lagi kapal tangki ditahan selang sehari - Utusan Malaysia

Tak endah amaran, dua lagi kapal tangki ditahan selang sehari

KAPAL yang berdaftar di Singapura ditahan pada 12 Ogos lalu sekitar pukul 11.33 pagi di kedudukan 14.5 batu nautika Tanjung Penawar kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Meskipun amaran demi amaran telah dikeluarkan kepada industri perkapalan maritim supaya mematuhi arahan dan prosedur bersauh di perairan Malaysia, namun, masih ada kapal yang ingkar terhadap prosedur yang ditetapkan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, buktinya apabila secara kumulatifnya, sebanyak 80 kapal telah ditahan atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran sepanjang tahun ini.

Malah, beliau berkata, dalam tempoh seminggu ini sahaja, sebanyak empat kapal tangki telah ditahan melalui Op Jangkar Haram yang dilaksanakan Maritim Malaysia secara berterusan.

Jelasnya, kapal pertama dan kedua berdaftar di Korea Selatan dan Pelabuhan Klang telah berjaya ditahan dalam usaha membanteras aktiviti dan kesalahan kapal-kapal dagang yang bersauh secara haram di perairan Johor terutamanya di sekitar Johor Timur.

“Terbaharu, Maritim Malaysia telah menahan dua lagi kapal tangki yang disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran di perairan sama. Kapal yang berdaftar dari Singapura ditahan pada kelmarin sekitar pukul 11.33 pagi di kedudukan 14.5 batu nautika Tanjung Penawar.

“Kapal ini dikendalikan 21 kru warga China dan Pakistan masing-masing berumur antara 25 hingga 66 tahun, mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata, sebuah lagi kapal berdaftar dari Kiribati ditahan sekitar pukul 2.55 petang, semalam di kedudukan 5.4 batu nautika Tanjung Punggai, dekat sini.

Kapal itu dikendalikan empat kru warga Indonesia berumur antara 25 hingga 55 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, kedua-dua nakhoda kapal tangki terbabit yang gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia telah ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Maritim Malaysia akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara,”katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya