'Tak dapat siput sedut, remis pun jadilah' - Utusan Malaysia

‘Tak dapat siput sedut, remis pun jadilah’

pengunjung beramai-ramai mencari siput sedut bersaiz kecil di sekitar Pantai Klebang, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pantai Klebang di Dataran 1 Malaysia yang sebelum ini sepi sepanjang tempoh dua bulan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh, tiba-tiba gempar sejak kelmarin.

Ia berikutan tularnya sebuah video mengenai siput sedut yang pertama kali ditemui di pantai tersebut dengan jumlah banyak sewaktu air surut.

Video tersebut tersebar melalui aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook menyebabkan orang ramai mula berkunjung ke pantai itu sejak pukul 1 petang hingga lewat petang, semata-mata ingin membawa pulang siput berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, siput tersebut tidak seperti yang digambarkan kerana saiznya terlalu kecil dan bertaburan di pantai berlumpur di situ.

Sebahagian besar orang ramai yang datang bersama keluarga bukan sahaja membawa beg plastik tetapi juga besen , baldi dan mangkuk.

Namun, sebaik sahaja menjejakkan kaki ke pantai, mereka hampa apabila siput sangat kecil dan tidak sesuai untuk di bawa pulang.

Seorang pengunjung, Siti Balkish Jaafar, 35, berkata, dia bergegas bersama beberapa orang rakannya ke pantai Klebang selepas melihat video tersebut.

“Tak sampai hati pulak tengok saiz siput macam itu. Memang saya kecewa tetapi mujurlah dapat lala dan remis, dapat saya bawa balik walaupun hanya 1 kilogram (kg),” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Shahril Abdul Karim, 41, dari Cheng pula berkata, dia bersyukur dengan rezeki dikurniakan tuhan meskipun hanya dapat mengutip lala dan remis sedangkan mengimpikan siput sedut.

“Lala dan remis memang mudah ditemui di sini sejak PKP pertama Mac tahun lalu. Tak dapat siput sedut tapi bawa pulang lala dan remis pun sudah memadai,” katanya yang datang bersama isteri, Sanisah Said.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya