Suri rumah didenda RM9,000 hina Yang di-Pertuan Agong dalam Facebook - Utusan Malaysia

Suri rumah didenda RM9,000 hina Yang di-Pertuan Agong dalam Facebook

Rosmawati Mohd. Zain (bertudung biru) tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan membuat hantaran dalam Facebook yang menghina Yang di-Pertuan Agong - UTUSAN/NORLIZAH ABAS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : “Saya tertekan sehingga melakukan tindakan bodoh dengan meluahkan perasaan dalam Facebook. Saya meyesal dan insaf.”

Demikian rayuan seorang suri rumah, Rosmawati Mohd. Zain sebelum Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengenakan denda RM9,000 atau penjara enam bulan atas kesalahan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Hakim M.M. Edwin Paramjothy mengenakan denda tersebut selepas ibu kepada empat orang anak itu mengaku bersalah terhadap tuduhan itu.

Rosmawati, 46, didakwa membuat hantaran bersifat jelik secara sedar melalui aplikasi Facebook iaitu menghina Seri Paduka dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pukul 7.06 malam, 25 Mei lalu.

Hantaran itu kemudian dibaca pukul 1.06 petang, 1 Jun lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27 Menara KPJ, Wangsa Maju di sini.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, akaun Facebook tersebut didaftarkan atas nama tertuduh manakala analisis terhadap kad sim yang dirampas menunjukkan komen menghina Seri Paduka dibuat dalam laman sosial milik wanita itu.

Terdahulu, Rosmawati yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan denda yang rendah kerana tidak bekerja manakala suaminya menyara keluarga sebagai pekerja bahagian pengurusan bangunan dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

Menurut suri rumah itu, dia berasa sedih dan tertekan menyebabkannya meluahkan melalui laman sosial selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.

“Saya pohon denda minimum kerana tidak mampu membayar jumlah yang banyak kerana anak-anak masih bersekolah dan perlukan saya,” ujarnya sambil menangis teresak-esak.

Rosmawati turut menyatakan, wang sudah dikeluarkan untuk membayar pendaftaran anak kedua yang bakal melanjutkan pelajaran di sebuah universiti awam.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran sebagai mesej kepada masyarakat.

Beliau turut memohon mahkamah mengambil kira faktor bahawa kes melibatkan hantaran jelik menghina Yang di-Pertuan Agong semakin berleluasa.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN