IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas khidmat dan pengorbanan mereka yang bertugas di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19.
Titah baginda, golongan itu memikul tanggungjawab berat luar jangka apabila berada di barisan paling hadapan.
Baginda bertitah, mereka menghadapi risiko jangkitan paling tinggi dan merupakan satu beban tanggungjawab yang tidak pernah terbayang perlu dihadapi oleh profesion masing-masing.
“Doktor, jururawat, petugas kesihatan dan perubatan, pemandu ambulans, pemandu van jenazah dan penggali kubur serta pengurus rumah-rumah jenazah tiba-tiba dilanda tanggungjawab luar jangka.
“Begitu juga risiko besar yang dihadapi oleh penghantar makanan, petugas-petugas di kedai runcit, di pasaraya dan di farmasi, para pengendali pengangkutan awam, para anggota pasukan keselamatan dan agensi-agensi berkaitan serta pegawai-pegawai awam di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang mengendalikan pelbagai perkhidmatan penting.
“Mereka telah melaksanakan satu tugas fardu kifayah yang wajib dihargai, semoga Allah SWT menganugerahkan khidmat dan pengorbanan mereka dengan sebesar-besar ganjaran,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa bertitah pada Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Perak Ke-14 di sini hari ini.
Sultan Nazrin turut bertitah supaya kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk berdiri dan memberikan tepukan penghargaan sebagai tanda apresiasi kepada setiap petugas barisan hadapan.
Baginda turut menzahirkan penghargaan buat warga pendidik yang menghadapi cabaran berat dalam perubahan landskap andragogi dan pedagogi secara digital terutama dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan Covid-19.
Titah baginda, warga pendidik, murid, ibu bapa dan pelbagai pihak yang terlibat langsung dengan pendidikan, menghadapi ujian dan cabaran berat.
“Beta menzahirkan penghargaan kepada warga pendidikan yang telah merintis segala usaha untuk memastikan murid-murid yang diamanahkan tanggungjawab ke atas bahu mereka, dapat diilmukan sebaik mungkin,” titah baginda. – UTUSAN